AM

PLUS tutup sementara laluan antara Plaza Tol Ipoh Utara-Ipoh Selatan arah selatan, esok

29/11/2022 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara laluan di antara Plaza Tol Ipoh Utara dan Ipoh Selatan dari KM267.3 ke KM280.6 (arah selatan) bagi melancarkan latihan simulasi yang dijadualkan bermula 10 pagi hingga 2.30 petang, esok.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Bhd Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata pengguna lebuh raya dari Kuala Kangsar dan utara dinasihatkan menggunakan Jalan Persekutuan (FT240) susur Jalan Jelapang-Ampang manakala pengguna lebuh raya yang menuju ke selatan dinasihatkan memasuki semula lebuh raya PLUS melalui Plaza Tol Ipoh Selatan.

"Keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa menjadi keutamaan kami. Oleh itu, latihan respons kecemasan dijalankan secara berkala bagi menilai tahap kesiapsiagaan warga PLUS dan agensi lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria juga berkata latihan respons kecemasan itu bertujuan untuk mengukur kesediaan dan tindak balas PLUS, pasukan kecemasan dan agensi berkaitan dalam menguruskan situasi kecemasan di lebuh raya.

Latihan respons kecemasan itu turut melibatkan pelbagai agensi seperti Pihak Berkuasa Lebuhraya Malaysia, Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk maklumat trafik terkini atau mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan