JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tiga lelaki disyaki terlibat samun

28/11/2022 03:26 PM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Polis berjaya menahan tiga daripada empat lelaki yang dipercayai menetak serta menyamun seorang pemborong dan pembekal sayur di Pasar Parit Buntar semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kereta Proton Waja dinaiki kesemua lelaki berkenaan di sekitar kawasan Parit Buntar.

“Kira-kira 4 petang, anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian telah terserempak dan mengekori kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum tiga lagi lelaki bersenjatakan pedang dan parang meluru masuk ke dalam kenderaan itu.

"Pihak polis segera menyerbu bagi menahan kesemua suspek namun suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar pihak polis yang berada di hadapan kereta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam usaha untuk mempertahankan diri dan memberhentikan kereta itu, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi memberhentikan kenderaan suspek.

Beliau berkata tiga lelaki berusia antara 47 hingga 63 tahun berjaya diberkas manakala seorang lagi dikenali sebagai P. Manimaran berjaya melarikan diri.

Mohd Yusri berkata siasatan awal mendapati suspek telah menetak pergelangan tangan kanan dan merampas seutas rantai leher pemborong dan pembekal sayur berusia 51 tahun itu.

Beliau berkata mangsa cedera parah dihantar ke hospital dan kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000.

Katanya hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga lelaki terbabit mendapati mereka terlibat dengan sekurang-kurangnya 11 kes rompakan menggunakan kenderaan dengan modus operandi sama.

Kesemuanya mempunyai rekod dadah dan jenayah selain ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis metampetamin dan morfin.

Mohd Yusri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan