BALIK PULAU, 27 Nov (Bernama) -- Penganjuran Festival Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang (PIDBF) 2022 selepas beberapa tahun terpaksa ditangguhkan susulan penularan pandemik COVID-19, telah berjaya menarik penyertaan 42 pasukan dari tujuh negara.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata pasukan yang akan mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini yang berlangsung di Empangan Teluk Bahang ialah dari Brunei, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, Australia, Filipina dan Malaysia.
"Perlumbaan perahu naga bukan sekadar sukan tradisional orang Cina tetapi juga merupakan tradisi budaya yang menggalakkan semangat berpasukan dan mewujudkan platform popular untuk orang ramai bertukar pandangan mengenai minat mereka terhadap perlumbaan perahu naga tanpa mengira usia, jantina atau latar belakang.
"Selaras dengan kempen pelancongan kita 'The Other Side Of The Island - Teluk Bahang and Balik Pulau,' tarikan di kawasan ini akan secara beransur-ansur meraih populariti di peringkat global," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yeoh, yang juga Pengerusi PIDBF 2022, berkata Festival Perahu Naga bukan sahaja diadakan secara tahunan bagi mempromosi pelancongan Pulau Pinang tetapi juga untuk mempromosikan budaya, memulihkan ekonomi dan menarik lebih ramai pelancong.
Terdahulu, pasukan perahu naga Johor menyerlah apabila memenangi tiga daripada enam kategori dalam PIDBF 2022 termasuk Wanita Perdana Antarabangsa, Terbuka Remaja Bawah 20 Antarabangsa dan Campuran Perdana Antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial