SUKAN

Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada JDT selaku juara, Selangor naib juara Piala Malaysia

27/11/2022 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) --  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022, semalam.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan JDT.

Perkara itu dizahirkan menerusi catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Selangor yang muncul naib juara Piala Malaysia 2022.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada pasukan bola sepak JDT dan Selangor FC, serta mendoakan kedua-dua pasukan tersebut dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” menurut catatan itu.

JDT mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kejayaan treble buat julung kalinya selepas menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2022 dengan menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Gelaran juara Piala Malaysia ketiga diraih JDT sejak penubuhannya pada 2013 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu, menyapu bersih trofi yang dipertandingkan tahun ini, susulan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super, selain meraih Piala Sumbangsih sebelum musim ini bermula.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019, sekali gus mengubati kekecewaan tewas di pentas final musim lepas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Sementara itu, Selangor terus kempunan merangkul sebarang gelaran juara dalam tempoh tujuh tahun selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan