AM

Anwar pengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara

27/11/2022 11:41 AM

PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir pada mesyuarat bermula 11 pagi tadi ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. 

Satu sidang media dijangka diadakan selepas mesyuarat itu.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata mesyuarat mengenai kos sara hidup itu perlu diadakan segera berikutan terdapat keperluan mendesak berhubung isu berkenaan. 

Beliau berkata mesyuarat tersebut akan membincangkan beberapa pelan tindakan segera dan jangka panjang bagi mengatasi masalah berkaitan kos sara hidup. 

Jumaat lepas, dalam sidang media pertamanya selepas memulakan tugas rasmi, Anwar menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan