KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh di bawah kerajaan perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan Premier Sarawak, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan di rumahnya, pagi ini.
"Gabungan Parti Sarawak atau GPS menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Parti Warisan dan juga GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang membentuk kerajaan perpaduan yang dikemudi saya.
"Insya-Allah, hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan," katanya yang turut berkongsi beberapa foto kunjungan itu.
GPS yang merupakan gabungan empat parti terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi 23 daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),19 Nov lalu.
Anwar dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, semalam berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial