KUANTAN, 25 Nov (Bernama) -- Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa 2022 yang berlangsung di Kuantan 188 di sini, mengetengahkan keunikan etnik dan budaya Orang Asal dari empat negara iaitu Malaysia, Afrika, Kazakhstan dan Mauritius.
Untuk Malaysia, antara seni dan budaya kaum yang terlibat ialah Orang Asli Suku Semelai dari Pahang, Mahmeri (Selangor) dan Seletar (Johor) selain turut mengetengahkan keunikan masyarakat dari Sabah dan Sarawak.
Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan festival itu hari ini dan melawat gerai pameran di situ.
Keberangkatan tiba baginda pada 5.15 petang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
Sementara itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi satu kenyataan memaklumkan penganjuran festival itu bertujuan mengetengahkan keunikan pelbagai etnik, dan budaya orang asal dari pelbagai negara serta memupuk semangat perpaduan menerusi seni budaya.
"JKKN juga ingin mengangkat serta mengekalkan kesenian dan warisan adat budaya Orang Asal tempatan dalam dan luar negara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa di mata masyarakat.
Ia juga bagi mewujudkan jaringan antarabangsa dalam kalangan Orang Asal serantau yang kukuh serta mengeratkan hubungan pemimpin setempat dan semangat perpaduan bersama masyarakat menerusi aktiviti seni dan budaya," menurut kenyataan itu.
Festival selama dua hari bermula semalam itu, turut dimeriahkan dengan pameran dan jualan daripada pelbagai etnik termasuk hasil kraftangan seperti bakul dan tikar mengkuang, hasil ukiran tangan, akar kayu, herba dan peralatan tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial