POLITIK

Akur kehendak rakyat, tunaikan janji manifesto - TI-M

25/11/2022 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov  (Bernama) -- Ahli Parlimen daripada semua parti politik perlu akur dengan kehendak rakyat dan meninggalkan amalan politik berpuak-puak untuk bersama-sama melakukan pembaharuan dan mentadbir negara, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan.

Justeru, beliau berkata TI-M menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menunaikan semua janji manifesto tanpa memberi sebarang alasan, penangguhan atau membuat pusingan U.

“Manifesto perlu ditunaikan terutamanya yang tertangguh sebelum ini berikutan penyingkiran Pakatan Harapan daripada kerajaan selepas ‘Langkah Sheraton’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, Muhammad berkata pembaharuan terutama berkaitan antirasuah dan tadbir urus mesti dilaksanakan tanpa berlengah termasuk Akta Politik Wang, pengasingan kuasa Jabatan Peguam Negara dan pendakwa raya serta pengisytiharan aset bagi semua wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata pelantikan ketua agensi kerajaan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah suruhanjaya di bawah Perlembagaan juga harus dilaksanakan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata kerajaan baharu di bawah kepimpinan Anwar penting untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dan membangun secara mampan.

“Kami berharap kerajaan akan terus terlibat dengan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) bagi melindungi dan menempatkan semula pelarian.

“Kami perlukan penglibatan anda dalam UNHCR dan negara penempatan semula untuk meningkatkan kuota penempatan semula memandangkan tiada tanda-tanda kami dapat kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Zafar berkata MERHROM gembira dapat bekerjasama dengan pihak pengurusan pelarian di Malaysia dan berharap kerajaan baharu akan meneruskan usaha dalam menyediakan pendidikan kepada pelarian selain hak asasi yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) Siobhan Das berkata komuniti perniagaan Amerika mengharapkan Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk akan memfokuskan kepada asas ekonomi dan mengekalkan komitmen teguh terhadap dasar.

Beliau berkata fokus berkenaan merupakan asas kepada peningkatan daya saing perniagaan dan keterbukaan Malaysia terhadap perdagangan global, serta penyampaian perkhidmatan awam dipacu digital yang menumpukan kepada kecekapan dan produktiviti bagi menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

 “AMCHAM akan terus membina hubungan kerja kukuh dengan kerajaan baharu menerusi kementerian dan agensinya bagi memastikan jenama Malaysia yang telah kukuh sebagai destinasi bagi pertumbuhan dan pelaburan dilindungi serta dipertingkatkan daripada perspektif global,” katanya.

Berkongsi sentimen sama, G25 Malaysia (G25) berharap parlimen baharu dapat belajar daripada perundangan di negara-negara maju yang parlimennya memainkan peranan lebih bermakna dan efektif.

G25 dalam kenyataannya juga menyeru kerajaan baharu supaya melakukan pembaharuan ke atas Jabatan Peguam Negara, SPRM, Suruhanjaya Pilihan Raya dan pasukan polis, seperti disarankan sejak sekian lama oleh organisasi masyarakat sivil termasuk G25.

“Kerajaan juga harus mengamalkan dasar fiskal yang realistik, selain melaksanakan pendekatan berbilang kaum dalam dasar dan program pembangunannya tanpa menggunakan kaum serta agama bagi memecahbelahkan rakyat.

“Semua rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan harus mempunyai akses kepada bantuan kerajaan terutamanya dalam pendidikan, program kebajikan dan permohonan kerja dalam kerajaan. Tidak harus ada diskriminasi. Penerima manfaat utama ialah orang Melayu dan Bumiputera lain memandangkan mereka membentuk majoriti dalam populasi negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan