SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Universiti HELP hari ini melancarkan Pusat Neuropsikologi swasta pertama di Malaysia bagi meningkatkan lagi kepakaran mereka dalam bidang psikologi dan terus memainkan peranan utama melatih kaunselor dan profesional psikologi untuk membantu bidang kesihatan mental negara.
Pakar Klinikal Neuropsikologi dan Psikologi Universiti HELP Dr A Padmassini berkata pusat itu, melalui klinik neuropsikologinya ditubuhkan bagi menyediakan penilaian neuropsikologi, perkhidmatan psikologi, pendidikan pesakit dan keluarga, termasuk pemulihan kognitif dan intervensi khusus, untuk individu mengatasi masalah mereka dan menjalani kehidupan yang sihat.
“Pesakit yang boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan klinikal itu termasuklah mereka yang mempunyai kecacatan intelek, gangguan spektrum autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), epilepsi, migrain, Parkinson, Alzheimer, kecederaan otak seperti strok, jangkitan atau pun tumor,” katanya.
Beliau berkata mereka yang mempunyai penyakit yang menjejaskan fungsi otak atau masalah berterusan psikologi yang kronik seperti kecelaruan atau gangguan bipolar, juga mungkin mendapat manfaat daripada perkhidmatan klinik tersebut.
“Neuropsikologi semakin popular dan penting di seluruh dunia sejak lapan tahun lalu. Begitu juga di Malaysia, hanya terdapat segelintir pengamal bertauliah untuk melaksanakan dan menyediakan rawatan klinikal neuropsikologi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran, di sini hari ini.
Dr Padmassini berkata pusat itu mempunyai pakar profesional terlatih dengan kepakaran dalam penyelidikan neuropsikologi, satu bidang khusus untuk memahami kaitan antara fungsi otak dan tingkah laku.
Selain klinik, pusat itu juga menawarkan platform untuk individu mengikuti latihan akademik, klinikal dan penyelidikan dalam bidang psikologi serta perkhidmatan lain, termasuk aktiviti berasaskan komuniti bagi menggalakkan kesedaran kesihatan mental melalui ceramah, webinar dan video pendidikan.
Sementara itu, Pro Naib Canselor (Kesejahteraan) dan Dekan Fakulti Sains Tingkah Laku, Pendidikan dan Bahasa Universiti HELP Dr Gerard Loius berharap untuk masa hadapan, pihaknya akan dapat menawarkan program pasca siswazah dalam neuropsikologi.
“Dengan menyediakan program dalam bidang itu, ini akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk program pasca siswazah dalam pengkhususan berbeza dalam bidang psikologi,” katanya.
Universiti HELP juga merupakan universiti di Malaysia yang pertama menawarkan Ijazah Sarjana dalam Kaunselong dan juga Ijazah Sarjana dalam Klinikal Psikologi untuk pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial