PETALING JAYA, 19 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak percaya dengan hebahan maklumat mengenai etika pakaian yang menyatakan memakai seluar pendek dan selipar tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata pengundi tidak perlu risau kerana isu pakaian yang tular itu adalah berita palsu.
"SPR hanya ada satu peraturan sahaja iaitu tidak boleh pakai baju atau topi yang ada simbol parti politik. Itu sahaja peraturan SPR.
"Semua berita lain yang menyatakan seluar pendek tidak boleh pakai, selipar tidak boleh pakai, itu semua palsu. Kalau was-was, dapatkan penerangan di laman sesawang SPR," katanya ketika ditemui Bernama selepas mengundi dan melakukan tinjauan perjalanan proses pengundian di Sekolah Kebangsaan 2 Sultan Alam Shah, Seksyen 11, di sini hari ini.
Azmi berkata rakyat Malaysia yang layak mengundi harus datang mengundi mengikut masa yang digalakkan atau datang pada bila-bila masa sebelum 6 petang jika ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata setakat tengah hari tadi, SPR tidak menerima sebarang aduan atau laporan serius mengenai perjalanan PRU15 dan berharap proses pengundian berjalan lancar sehingga pusat mengundi ditutup pada 6 petang ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial