AM

PRU15: Pengundi Limbang, Baram terpaksa redah banjir tunai kewajipan mengundi

19/11/2022 02:06 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Pengundi di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

"Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai)," tambahnya.

Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan