AM

KDN rampas al-Quran tanpa kelulusan LPPPQ bernilai lebih RM500,000 di Kedah

15/11/2022 03:52 PM

ALOR SETAR, 15 Nov (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 6,914 unit al-Quran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) termasuk buku yang dikenakan Perintah Larangan bernilai RM563,370 di negeri ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata rampasan dibuat di kedai jualan dan stor penyimpanan bahan itu di Pendang, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi pada 13 Nov lepas oleh sepasukan anggota bahagian berkenaan dari Ibu Pejabat KDN Putrajaya dengan kerjasama KDN Kedah.

Katanya rampasan membabitkan 2,874 unit naskah al-Quran atas kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dan 4,024 unit bahan al-Quran atas kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) akta sama.

“Turut dirampas 16 naskah bahan penerbitan berbentuk buku kerana kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) dan Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya pada sidang media di Bangunan KDN Kedah di sini hari ini.

Nik Yusaimi berkata rampasan itu dibuat berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak 2018 lagi sehingga membawa kepada serbuan ke atas premis tersebut menerusi ‘Ops Naskhah’ yang dilancarkan di seluruh negara pada 1 Okt lepas.

“Sejak 2018 lagi kita telah kesan dan kita buat risikan, cuma dalam proses risikan itu ada halangannya sehinggalah kita mendapat satu kesahihan, maka kita telah ke premis menyimpan bahan-bahan tersebut,” katanya yang turut memaklumkan kebanyakan bahan itu dari Indonesia.

Beliau berkata seorang lelaki berumur lingkungan 40-an dipercayai penjual dan pengedar bahan itu ditahan untuk diambil keterangan bagi siasatan lanjut sebelum dilepaskan, dan lelaki itu disyaki aktif menjual al-Quran berkenaan secara dalam talian.

“Kita akan susun untuk membuka kertas siasatan dan berbincang dengan Timbalan Pendakwa Raya untuk (lelaki itu) dibawa ke mahkamah, dalam proses siasatan itu saya percaya kita akan mendapat maklumat tambahan,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Yusaimi menasihati masyarakat berhati-hati dengan hanya menjual, membeli, memiliki dan membaca al-Quran diperakui LPPPQ yang mempunyai hologram KDN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan