LABUAN, 13 Nov (Bernama) -- Berbaki tujuh hari sahaja lagi sebelum hari mengundi, perang bendera dan poster dalam kalangan parti yang bertanding di kerusi Parlimen Labuan bertambah meriah di pulau bebas cukai ini.
Petugas daripada parti-parti yang bertanding dilihat memasang poster dan bahan kempen masing-masing di pelbagai tempat awam yang ditetapkan sejak awal pagi Khamis.
Kerusi Parlimen Labuan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan menentang Datuk Bashir Alias (Barisan Nasional-UMNO), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Perikatan Nasional-Bersatu); Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan-Amanah) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Gerakan Tanah Air-Pejuang).
Tinjauan Bernama di sekitar bulatan dan tiang lampu di jalan-jalan utama termasuk pagar pembahagi jalan terutamanya di Jalan Tun Mustapha mendapati ia dipenuhi dengan bendera pelbagai parti yang bertanding.
Rozman yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu memanfaatkan platform media sosial, mengadakan ceramah secara fizikal dan meletakkan poster di papan iklan luar di pusat bandar, selain memasang poster mini, bendera dan sepanduk manakala Suhaili yang juga bekas Ahli Parlimen Labuan pula melancarkan manifesto pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail memberitahu Bernama, kesemua calon telah mendapat permit untuk memasang atau mempamer bendera, poster dan bahan kempen lain pada 5 dan 7 Nov.
Beliau berkata mereka dikehendaki membayar deposit sebanyak RM5,000 yang akan dikembalikan untuk memasang atau mempamer bahan kempen PRU.
Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata sekurang-kurangnya tiga permit ceramah diluluskan pada setiap hari manakala setakat ini sebanyak 18 permit telah dikeluarkan.
“Tahap keselamatan di pulau ini sejak hari penamaan calon sehingga hari ini diuruskan dengan baik. Kami berharap penyokong parti akan terus menjaga ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial