POLITIK

Tindakan jika terbukti ADUN Kemabong berkempen untuk calon bebas - GRS

12/11/2022 08:10 PM

KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang, jika terbukti beliau terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya Riduan Rubin.

Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau masih menunggu laporan berhubung dakwaan penglibatan Rubin menyokong dan membantu kempen Riduan yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Tenom.

“Kita tengok dulu laporan, kalau dia terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan. Kita perlu adil kepada semua.

"Kalau hanya berdasarkan gambar beliau duduk dengan anaknya, kita tidak boleh ambil tindakan. Tetapi kalau betul dia (Rubin) menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata Rubin merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tenom, manakala Riduan bertindak keluar daripada Bersatu sebelum hari penamaan calon pada 5 Nov lepas, justeru tiada tindakan boleh diambil terhadap Riduan berdasarkan peraturan parti.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa tindakan diambil terhadap Rubin yang didakwanya melanggar kerjasama GRS-BN pada PRU15, malah mendakwa Rubin menjadi dalang Riduan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Presiden KDM Datuk Peter Anthony juga semalam mengesahkan penyertaan Riduan ke parti itu, namun menjelaskan Riduan akan kekal bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas, dibantu jentera parti itu.

Tenom menyaksikan persaingan lima penjuru antara penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar daripada BN, Ukim Buandi (Warisan) serta dua calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Tuaran hari ini, Hajiji berkata UMNO perlu mengambil tindakan terhadap ahlinya Datuk Noortaip Suhaili yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tuaran menentang calon GRS.

Katanya beliau telah memberitahu perkara itu kepada Ketua UMNO Bahagian Tuaran Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan timbalannya Datuk Jasnih Daya yang juga ADUN Pantai Dalit.

Beliau berkata tindakan mesti diambil terhadap mana-mana calon yang bertanding bertentangan dengan kehendak parti.

"Kita mesti ambil tindakan tegas kerana kita tidak mahu orang ramai keliru," katanya.

Parlimen Tuaran menyaksikan persaingan enam penjuru menentang penyandang Datuk Seri Madius Tangau mewakili PH, Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Jo-Anna Sue Henley Rampas (Warisan), Muminin Kalingkong (Pejuang) serta dua calon Bebas Bobby Lewat dan Noortaip.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan