JENAYAH & MAHKAMAH

HAKIM AB KARIM GAPAI CITA-CITA JADI PEGUAM

10/11/2022 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Cita-cita Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman untuk menjadi peguam sejak kecil akhirnya tercapai selepas diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Hakim Dr Shahnaz Sulaiman, yang mempengerusikan upacara 'long call' di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, membenarkan petisyen Ab Karim selepas tiada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Selangor.

Ab Karim, 66, yang mula berkhidmat dalam bidang perundangan sejak 1983, akan bersara esok.

Terdahulu, peguam Datuk N. Sivananthan yang bertindak sebagai pengusul, ketika membacakan petisyen Ab Karim berkata pempetisyen telah memfailkan permohonan penerimaan masuk sebagai peguam bela dan peguam cara kerana cita-cita beliau sejak kecil untuk bergelar peguam tidak pernah padam ditambah pula dengan dorongan serta sokongan kuat isteri tercinta.

"Pada hari bersejarah ini, pempetisyen memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran, ucapan penghargaan dan terima kasih kepada almarhum ibu dan ayah pempetisyen yang sentiasa menjadi pendorong dan inspirasi dalam hidupnya.

"Tidak lupa ucapan terima kasih kepada isteri tercinta, anak-anak dan keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

“Terima kasih juga kepada semua insan yang pernah bergelar guru kepada pempetisyan atas segala ilmu yang diberikan dan juga kepada pegawai serta kakitangan mahkamah yang memudahkan urusan petisyen ini," kata Sivananthan sambil menambah Ab Karim seorang yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau berkata pempetisyen, yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya, telah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara dan ditempatkan di pelbagai kementerian serta jabatan antaranya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Kanan Persekutuan.

Katanya Ab Karim pernah berkhidmat sebagai Majistret, Penolong Kanan Pendaftar dan Hakim Mahkamah Sesyen serta dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2013 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 27 April 2018.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan