POLITIK

Warisan, PH ‘letak’ calon mahasiswa di DUN Perlis

08/11/2022 12:50 PM

KANGAR, 8 Nov  (Bernama) – Parti Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Perlis meletakkan calon berstatus mahasiwa untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Shamim M Nordin, 27, calon parti Warisan bertanding di DUN Beseri berkata pembabitannya dalam arena politik  didukung oleh ayah beliau yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Padang Besar.

 “Saya sendiri pada permulaannya 50/50 untuk bertanding namun selepas melihat perubahan yang dilakukan oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Sabah menyebabkan saya yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh parti itu akan membawa perubahan di negeri Perlis.

“Tambahan lagi dengan kekuatan yang ada pada saya yang mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan dan pernah praktikal di Unit Pentadbiran Daerah di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis diharap mampu memberi manfaat kepada penduduk kawasan ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Mohd Shamim merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia yang bakal bergraduasi pada hujung tahun ini berkata beliau akan mengguna pendekatan turun padang untuk berkempen bagi menarik golongan veteran dan menjadikan platform media sosial untuk mendekati golongan muda.

Sementara itu Mohd Syahmi Suhaimi, 23, merupakan calon termuda PRU15 kali ini mewakili parti PH-PKR bagi kerusi DUN Tambun Tulang adalah pelajar tahun akhir  Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) .

“Tipulah sekiranya saya kata tidak rasa ‘gugup’ untuk jadi calon dan berdepan tokoh politik BN Datuk Ismail Kassim yang merupakan penyandang kerusi Tambun Tulang dan juga adalah adik kepada Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,” katanya.

Katanya namun itu bukan alasan untuk mengaku kalah, sebaliknya akan membuktikan bahawa anak muda juga boleh berjaya dalam politik apabila diberi peluang untuk bertanding.

“Anak muda tidak boleh takut untuk terlibat dalam politik negara kerana mereka bakal menjadi pelapis menggantikan pemimpin negara satu hari nanti,” katanya.

Mengikut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sehingga 9 Okt terdapat 198,784 pengundi di Perlis berumur antara 18 hingga 39 tahun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan