EKONOMI

MIDA: PELABURAN LANGSUNG DOMESTIK PERLU DITINGKAT UNTUK KEKALKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

08/11/2022 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) adalah penting untuk pertumbuhan mampan Malaysia memandangkan sumbangannya yang besar kepada ekonomi negara, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Arham Abdul Rahman berkata DDI memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan global, dan penting untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau seterusnya menambah bahawa FDI dan DDI saling melengkapi kerana keadaan pasaran yang sama - iklim perniagaan yang berdaya saing, saksama, stabil dan dikawal selia - dan kedua-dua segmen berhak mendapat perhatian yang sama.

“FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan dalam ekonomi -  industri domestik dan ekosistem yang kukuh juga penting.

"Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI dan DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya," katanya pada satu perbincangan panel bertajuk "Menganjak Paradigma: Meningkatkan DDI untuk Pertumbuhan Ekonomi Mampan" di sini hari ini.

Pada 2012-2021, DDI menyumbang 64.2 peratus, atau RM1.364 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi Malaysia, manakala baki 35.8 peratus (RM761.7 bilion) adalah FDI.

Dalam sektor perkhidmatan, 84.2 peratus atau RM1.014 trilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di negara ini dikuasai oleh DDI, manakala FDI berjumlah RM190.4 bilion.

Bagi pembuatan, 35.5 peratus atau RM290.8 bilion pelaburan yang diluluskan disumbangkan oleh DDI manakala bahagian yang lebih besar ialah FDI, berjumlah RM527.6 bilion.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan