POLITIK

DAKWAAN 'SATU UNDI BN SATU UNDI ZAHID JADI PM' HANYA PERSEPSI OLEH PEMBANGKANG - ISMAIL SABRI

06/11/2022 04:47 PM

BERA, 6 Nov (Bernama) -- Dakwaan satu undi kepada Barisan Nasional (BN) bersamaan satu undi untuk Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri hanyalah persepsi yang dimainkan pihak pembangkang dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan sehingga kini tiada sebarang perubahan melibatkan calon perdana menteri daripada BN selepas PRU15.

“Saya pun dengar perkara itu, tetapi semalam saya dah perbetulkan persepsi itu… pihak pembangkang hanya nak wujudkan persepsi sedangkan saya (sudah) cakap Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sudah putuskan selagi perkara itu tidak di ‘reversed’ dalam mesyuarat. Keputusan itu kalau nak ubah mesti dalam MT, mesti diubah dalam PAU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat Bersama Komuniti Bandar Kemayan, di sini hari ini, ketika ditanya mengenai dakwaan itu yang dijadikan modal pembangkang di media sosial, tular sejak kebelakangan ini. 

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata Ismail Sabri kekal dinamakan sebagai ‘poster boy’ BN pada PRU15 dan calon Perdana Menteri, dengan pendirian gabungan berkenaan berhubung perkara itu tidak berubah sekiranya BN menang pilihan raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan