POLITIK

PRU15: PN tampil enam muka baharu di Kelantan, Nik Abduh tidak disenarai

03/11/2022 12:36 AM

KOTA BHARU, 2 Nov (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) Kelantan malam ini mengumumkan bakal calon kerusi Parlimen termasuk enam muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi PN Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata empat calon muka baharu ditampilkan daripada Bersatu iaitu Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang),  Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Manakala dua calon muka baharu daripada PAS ialah Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) yang juga Penolong Setiausaha Agong PAS Pusat.

"Kita juga mengekalkan tujuh penyandang daripada PAS termasuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian) dan Ahmad Fadhli Shaary (Pasir Mas). 

Penyandang daripada Bersatu, Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz bagi Parlimen Tanah Merah turut dikekalkan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Sementara itu, penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi tidak dinamakan sebagai calon PN di Kelantan kali ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan parti itu tidak mencalonkan penyandang Nik Mohamad Abduh bukanlah untuk mematikan legasi ayahnya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Ibrahim menegaskan beliau (Nik Mohamad Abduh) secara sukarela ingin memberi laluan kerusi yang disandangnya kepada calon lain manakala Che Abdullah pula digugurkan kerana tidak lulus tapisan Majlis Syura Ulamak.

"Bukan kita mengenepikan Nik Abduh, sebaliknya kita menampilkan calon muda dan tidak timbul isu mematikan legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz kerana perjuangan ini adalah bukan kerana individu sebaliknya dasar yang mahu diperjuangkan," katanya.

 

Berikut adalah senarai calon PN PRU15 di Kelantan:

 

P019  Tumpat - Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-PAS) 

P020  Pengkalan Chepa - Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-PAS)

P021  Kota Bharu - Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-PAS)

P022  Pasir Mas - Ahmad Fadhli Shaary (PN-PAS)

P023  Rantau Panjang - Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-PAS)

P024  Kubang Kerian - Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-PAS)

P025  Bachok - Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-PAS) 

P026  Ketereh - Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Bersatu) 

P027  Tanah Merah - Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz (PN-Bersatu)

P028  Pasir Puteh - Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-PAS)

P029  Machang - Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Bersatu) 

P030  Jeli - Zahari Kechik (PN-Bersatu) 

P031  Kuala Krai - Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-PAS)

P032  Gua Musang - Datuk Mohd Azizi Abu Naim (PN-Bersatu)

 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan