POLITIK

Cikgu Aru tanding satu kerusi untuk MIC di DUN Pahang

02/11/2022 08:55 PM

KUANTAN, 2 Nov (Bernama) -- Pengerusi MIC Pahang V. Arumugam menjadi wakil tunggal parti itu yang menggalas tanggungjawab sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan Arumugam yang merupakan bekas guru akan bertanding di DUN Sabai, yang terletak di bawah Parlimen Bentong iaitu kerusi tradisi bagi MIC. 

"Ya, Cikgu Arumugam untuk (DUN) Sabai," katanya ringkas semasa ditemui di sini petang ini. 

Pagi ini, Wan Rosdy mengumumkan 40 calon BN yang akan bertanding bagi DUN Pahang pada PRU15, namun calon bagi DUN Sabai dan Cheka tidak disebut pada majlis pengumuman itu dengan dimaklumkan status calon bagi DUN tersebut ialah 'KIV' (simpan dalam perhatian). 

Sementara itu, Arumugam semasa ditemui berkata beliau lewat untuk mengambil watikah calon kerana perlu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti di Kuala Lumpur, namun perkara itu telah dimaklumkan kepada Wan Rosdy. 

Arumugam atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aru dalam kalangan penduduk setempat di Bentong, khususnya di Karak berkata beliau memilih bersara daripada profesion perguruan pada awal 2019 untuk aktif politik sepenuh masa. 

"Tugasan berat menanti saya untuk merampas semula Sabai daripada pembangkang, selain ditambah dengan faktor saya satu-satunya calon MIC yang bertanding di negeri ini.

"Saya berharap faktor saya sebagai anak tempatan yang dibesarkan sepenuhnya di Karak walaupun dilahirkan di Mentakab (Temerloh), menjadi nilai tambah buat diri saya kerana dikenali penduduk setempat," katanya yang sebelum ini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak. 

PRU15 akan diadakan pada 19 Nov ini, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan 5 Nov ini sebagai hari penamaan calon manakala 15 Nov pengundian awal. 

Pada PRU14, DUN Sabai dimenangi calon Pakatan Harapan (PH) iaitu D. Kamache dengan majoriti 495 undi menewaskan calon BN Datuk R. Goonasakaren yang memperoleh 3,879 undi, manakala calon PAS Mohd Khairuddin Abdullah (1,308 undi) dan calon bebas T. Karunaneethi (145 undi). 

Kali terakhir BN menang di DUN Sabai ialah PRU12 pada 2008 menerusi M. Davendran yang memperoleh 3,304 undi manakala D. Kamache yang bertanding atas tiket DAP hanya memperoleh 3,159 undi. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan