EKONOMI

INFOMINA SASAR KUMPUL RM32.47 JUTA DARIPADA IPO PASARAN ACE

01/11/2022 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Syarikat penyelesaian teknologi serantau Infomina Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 25 Nov depan, menyasarkan untuk mengumpul RM32.47 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Pengarah Urusannya, Yee Chee Meng berkata daripada jumlah itu, syarikat merancang memperuntukkan RM13.96 juta (43 peratus) sebagai modal kerja dan RM7.6 juta (23.4 peratus) lagi untuk mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan. 

Sejumlah RM5.53 juta (17 peratus) akan dipakai bagi pengembangan serantau, RM0.89 juta (2.7 peratus) untuk aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, manakala baki RM4.5 juta (13.9 peratus) bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Perkhidmatan kumpulan itu merupakan portfolio yang pelbagai dengan lebih 60 pelanggan aktif merentasi pelbagai industri serta lokasi geografi termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Hong Kong, China dan Taiwan.

Syarikat itu mempunyai tempahan dalam tangan bernilai RM443.6 juta dan projek yang sudah selesai bernilai RM370.3 juta setakat 30 Sept 2022, katanya. 

"Prestasi kewangan kami bertambah baik seiring dengan kejayaan kami dalam memperoleh pelanggan dan pasaran baharu, yang mana, hasil telah meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM66 juta yang dicatatkan semasa tahun kewangan 2019 kepada RM201.1 juta pada tahun kewangan 2022, yang merupakan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 45 peratus.

"Prospek adalah sangat positif bagi kami untuk berkembang memandangkan syarikat mempunyai kontrak (yang akan bertahan) sehingga 2027," katanya kepada media pada pelancaran prospektus IPO syarikat itu hari ini. 

IPO Infomina terdiri daripada terbitan awam sebanyak 81.17 juta saham baharu, yang mana 30.06 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia serta 6.01 juta saham akan diketepikan bagi pengarah dan pekerja kumpulan yang layak. 

Sebanyak 45.09 juta saham lagi akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Pada harga terbitan 40 sen sesaham dan modal saham diperbesarkan sebanyak 601.25 juta saham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah RM240.5 juta semasa penyenaraiannya.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 11 Nov 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan