KUANTAN, 29 Okt (Bernama) -- Opor daging, juadah istimewa Pahang merupakan menu istimewa pada Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut meluangkan masa selama lebih sejam di kenduri tersebut dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Opor daging, yang lazimnya dihidangkan pada hari raya dan hari istimewa seperti majlis perkahwinan, dimasak menggunakan rempah khas dan mempunyai rasa seimbang antara pedas, manis dan berlemak menjadikan ia sangat sesuai dimakan bersama nasi putih, lemang, ketupat ataupun roti.
Pemilik Afdal Jaya Enterprise Ab Halim Hussin, iaitu antara penyedia makanan pada majlis itu, berkata opor daging mengambil masa yang lama untuk dimasak, kerana tidak boleh menggunakan api besar supaya rasa rempah sebati dengan daging.
"Persiapan menyediakan bahan mentah dimulakan sejak petang semalam, bagi memudahkan proses memasak kerana kami bermula seawal pukul 4 pagi sebelum selesai kira-kira 8 pagi kerana tidak boleh dimasak dengan api yang besar, selain untuk memastikan daging benar-benar empuk," katanya semasa ditemui hari ini.
Selain opor daging, Ab Halim berkata menu lain yang disediakan ialah ikan goreng, ayam masak kicap, masak lemak putih kubis, ulam-ulaman dan sambal belacan selain buah-buahan sebagai pencuci mulut.
Sementara itu, penyelia Annexe Rest House yang turut menyediakan juadah majlis itu, Suhaila Mohd Zin berkata opor daging hanya menggunakan bahan asas seperti bawang merah, bawang putih, halia, manisan, santan, kerisik serta rempah ratus, namun proses memasaknya menjadikan ia agak 'renyah' untuk disediakan.
"Proses menumis tidak lama namun untuk menunggu santan pecah minyak itu yang mengambil masa lama, selain perlu dikacau supaya tidak hangit dan rempahnya sebati," katanya.
Kenduri itu merupakan sebahagian daripada pengisian AKM, dengan edisi Pahang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dan perkarangan Stadium Darul Makmur, kedua-duanya di sini.
AKM Pahang yang masuk siri ke-12, diterajui Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan tema 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara' menyediakan pelbagai program dan aktiviti menarik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial