AM

Helikopter Bomba hantar 6,255 kg bekalan makanan ke kampung Orang Asli

28/10/2022 03:07 PM

GUA MUSANG, 28 Okt (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 6,255 kilogram (kg) bantuan bekalan makanan ke empat perkampungan Orang Asli di daerah ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Bantuan berkenaan dihantar dengan menggunakan helikopter jenis Mi-17-IV ke Kampung Gob, Kampung Simpor, Kampung Gawin dan Kampung Jader membabitkan 417 keluarga bermula semalam dan hari ini.

Antara barangan yang dihantar ialah beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata penghantaran itu ialah langkah proaktif untuk menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli yang terletak jauh dan sukar untuk dihubungi.

“Jawatankuasa Bencana Daerah melalui Pejabat Tanah bersama Pusat Khidmat DUN bekerjasama, dan kita memohon Unit Udara JBPM untuk menghantar bekalan makanan ke kampung-kampung berkenaan.

“Penghantaran bakul makanan ini sebagai persiapan awal dan untuk digunakan jika terputus bekalan makanan semasa musim tengkujuh ataupun musim banjir, jadi kita mulakan dengan pos yang paling jauh dahulu,“ katanya ketika ditemui di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata penerbangan menghantar bantuan makanan itu melibatkan Pos Gob iaitu ke Kampung Gawin sebanyak 34 beg dan Perkampungan Gob sebanyak 153 beg yang dihantar semalam.

"Untuk hari ini pula membabitkan Pos Simpor 110 beg dan Kampung Jader 120 beg makanan yang setiapnya dianggarkan seberat 15 kg setiap beg termasuk beras,” katanya.

Penerbangan yang membawa 10 kru dan diketuai Lt Kol Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengangkat makanan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan