EKONOMI

Bursa Malaysia lulus penyenaraian, sebut harga 3.96 bilion saham baharu Digi bagi gabungan Celcom-Digi

27/10/2022 08:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd meluluskan penyenaraian dan sebut harga bagi 3.96 bilion saham biasa baharu dalam Digi.com Bhd untuk diterbitkan di bawah cadangan penggabungan dengan Celcom Axiata Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, Digi menjelaskan mesti terlebih dahulu mematuhi sepenuhnya peruntukan yang relevan di bawah syarat-syarat penyenaraian berkaitan dengan pelaksanaan cadangan penggabungan itu.

“Digi mesti mematuhi kehendak tebaran pemegangan saham awam menurut Perenggan 8.02 Syarat-syarat Penyenaraian semasa penyenaraian dan sebut harga bagi saham baharu Digi yang akan diterbitkan mengikut cadangan penggabungan itu,” jelasnya.

Pada April 2021, Axiata menjelaskan sebagai sebahagian daripada transaksi penggabungan, syarikat akan menerima saham yang baru diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1 peratus pegangan saham pascaurus niaga dan amaun penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi sebagai hutang baharu manakala baki RM300 juta akan diperoleh daripada Telenor.

Menurut Axiata, entiti penggabungan akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia, dan dijangka meningkatkan mudah tunai dan profil bursa sebagai satu daripada syarikat teknologi terbesar di Malaysia dan merupakan antara syarikat pemodalan pasaran terbesar di bursa tersebut.

Entiti penggabungan itu akan dianggap sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di Malaysia dari segi nilai, perolehan dan keuntungan; dengan perolehan proforma kira-kira RM12.4 bilion, pendapatan prasinergi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) entiti gabungan itu adalah kira-kira RM5.7 bilion dan dianggarkan merekodkan 19 juta pelanggan, tambah Axiata.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan