KOTA BHARU, 22 Okt (Bernama) -- Pelepasan cuti selama lima hari bermula 17 Nov oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat dapat memudahkan urusan pelajar untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Qayyum Mohd Ayob, 19, berkata kelonggaran itu juga sekali gus dapat memberikan peluang kepada pelajar memenuhi kewajipan untuk mengundi tanpa perlu memohon pelepasan khusus dari pihak universiti.
“Dengan adanya pelepasan cuti secara rasmi ini, tiada alasan lagi kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak merebut peluang ini bagi pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.
“Malah, saya juga akan pulang ke kampung halaman di Bukit Marak, Kota Bharu, Kelantan bagi menjalankan tanggungjawab ini untuk menentukan pemimpin yang bakal mencorakkan negara selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Bernama hari ini melaporkan, KPT memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 Nov ini kepada pelajar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada PRU15.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar selepas surat edaran mengenai pelepasan pelajar IPT untuk pulang mengundi yang ditandatanganinya tular di media sosial hari ini.
Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Saiful Amirul Shahrul Nizam, 23, berkata pelepasan cuti yang diberikan itu bersesuaian buat pelajar IPT untuk melakukan persiapan serta merancang perjalanan pulang.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan itu berkata, jika mengikut kebiasaanya sebelum ini cuti diberikan hanya sehari kepada pelajar universiti untuk pulang mengundi bagi PRU, satu tempoh dilihat amat singkat selain membebankan pelajar.
“Saya menyambut baik pelepasan yang diberikan oleh pihak KPT ini memandangkan dengan adanya pelepasan yang lebih lama ini sekurang-kurangnya ia dapat membantu pelajar melakukan persiapan termasuk urusan perjalanan pulang ke kampung halaman untuk mengundi dengan lebih teratur dan terancang.
“Malah pelepasan ini juga secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk meluangkan masa dengan keluarga terutamanya ibu bapa sekali gus menjadi serampang dua mata selain pulang untuk mengundi,” katanya yang berasal dari Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial