GEORGE TOWN, 20 Okt (Bernama) -- Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal dari DAP, P. Kasthuri, hari ini mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). bulan depan.
Anak tokoh veteran DAP, mendiang P. Patto, itu berkata ia adalah keputusan paling sukar dalam hidupnya tetapi tidak akan mengubah fikirannya kerana mahu memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP.
Katanya, kepimpinan parti memujuknya untuk mempertimbangkan semua keputusannya tetapi beliau bertegas tidak akan mengubah pendiriannya.
"Terdapat khabar angin mengatakan saya telah digugurkan tetapi ini tidak berlaku kerana saya berundur secara sukarela. Parti memahami pendirian saya dan mereka menyokong keputusan saya," katanya pada sidang media, di sini.
Kasthuri berkata bahawa beliau akan terus berkhidmat kepada parti itu dalam kempennya di kawasan Batu Kawan atau di tempat lain untuk membantu calon DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Kasthuri, 43, yang merupakan Timbalan Setiausaha DAP dalam Hal Ehwal Antarabangsa, berkata bahawa rancangan jangka panjangnya adalah untuk menyertai sebuah organisasi antarabangsa yang berkaitan dengan isu hak asasi manusia.
Beliau membuat penampilan pertamanya bertanding kerusi Parlimen Batu Kawan pada PRU13 pada 2013 dan memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 25,962 undi dan mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu 33,553 undi pada PRU14 pada 2018.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata parti itu menghormati dan menerima keputusan Kasthuri untuk tidak bertanding pada PRU15 dengan hati yang berat.
“Beliau ada menyebut walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen, isu hak asasi manusia akan terus dekat di hatinya. Kami menerima keputusannya," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh mengundi PRU15 manakala 5 Nov sebagai hari penamaan calon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial