GEORGE TOWN, 20 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang hari ini mendedahkan kepada umum Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang bakal menjadi garis panduan perancangan dan pembangunan dalam kawasan pulau di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata draf berkenaan adalah satu dokumen rasmi yang menerangkan semua cadangan mengenai pemajuan dan penggunaan tanah secara terperinci di setiap lot, dan setelah diwartakan nanti akan menjadi rujukan kepada komuniti, pemilik tanah, pihak berkepentingan serta orang awam yang tinggal di daerah Timur Laut dan Barat Daya.
''Orang ramai dan pihak berkepentingan boleh memberi pandangan, cadangan, maklum balas mahupun bantahan yang tentunya akan diambil kira dalam memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan ini.
''Tempoh untuk orang awam memberikan pandangan adalah dua bulan bermula 14 Okt hingga 13 Dis ini,'' katanya dalam ucapan perasmian program publisiti dan penyertaan awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 di sini hari ini.
Katanya salinan draf berkenaan boleh diperoleh dan diperiksa di ruang pameran yang bertempat di Bangunan Syed Al-Attas di Lebuh Armenian selain di Makerspace di Balik Pulau.
"Diharapkan tempoh yang diberikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat negeri ini sebagai platform penambahbaikan dokumen penting ini.
''Penglibatan semua pihak adalah sangat penting bagi mencapai hala tuju perancangan pembangunan yang diimpikan,'' katanya.
Chow berkata dengan siapnya draf itu, secara rasminya perancangan di bahagian pulau telah lengkap.
Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 itu adalah rancangan tempatan pertama yang diumumkan untuk kawasan pulau, iaitu 14 tahun sejak kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mentadbir negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial