KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) — Perolehan eksport koko dan produk koko telah mencecah RM3.6 bilion sehingga Jun 2022, kata Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Rahimah Majid.
Beliau berkata pencapaian tersebut adalah berikutan permintaan yang tinggi di luar negara dan harga produk-produk koko yang berada pada paras yang memberangsangkan.
“Berdasarkan perkembangan suku pertama dan suku kedua nilai eksport koko, kita akan mencapai sasaran lebih daripada RM7 bilion, dan saya harap tahun hadapan pencapaian akan lebih baik.
“Sebagai rakyat Malaysia kita harus bangga dengan coklat yang dihasilkan di Malaysia kerana kualitinya tidak kurang hebat dan sangat sedap serta kompetitif dengan keluaran negara luar.
“Coklat keluaran Malaysia juga telah diiktiraf oleh negara Jepun apabila muncul sebagai negara pengeksport terbesar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koko dan Coklat Malaysia (MCCD) 2022 di sini hari ini.
Rahimah berkata pada tahun 2021, industri koko di Malaysia telah menyumbangkan nilai eksport sebanyak RM6.8 bilion dan ia dijangka meningkatkan kepada RM7 bilion tahun ini.
Eksport coklat menyumbang sebanyak 15 peratus daripada jumlah nilai eksport.
Pada tahun 2021, eksport coklat adalah sebanyak 68 ribu tan bernilai RM1 bilion dengan kebanyakan produk coklat dieksport ke negara Jepun (20.7 peratus), China (12.5 peratus) dan negara-negara ASEAN iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia.
“Pengeluaran produk koko seperti coklat telah berkembang dengan pesat. Peningkatan eksport coklat dalam tempoh 11 tahun (2010 hingga 2021) adalah sebanyak 267 peratus iaitu dari RM272 juta hingga RM1 bilion.
“Eksport coklat ini dijangka terus meningkat berikutan permintaan yang tinggi di luar negara,” kata Rahimah.
Tambahnya bagi pasaran domestik, usahawan coklat buatan tangan bimbingan LKM telah mengeluarkan sebanyak 90 tan coklat bernilai RM5.5 juta tahun lalu dan mereka disasarkan mencapai 94 tan produk coklat, bernilai RM6 juta pada tahun ini.
“Bagi memastikan produk-produk yang dihasilkan daripada usahawan coklat adalah berkualiti dan kompetitif dengan produk dari luar negara, fokus diberikan kepada pembangunan pembungkusan dan pengeluaran produk-produk yang kreatif dan unik serta produk coklat premium seperti coklat single origin dan coklat organik,” katanya.
Sementara itu, MCCD 2022 dianjurkan selama tiga hari bermula 14-16 Okt 2022 di Mid Valley Exhibition Centre bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai tanaman koko dan produk-produk berasaskan koko, kesedaran mengenai kebaikan dan khasiat koko serta mempromosikan produk koko keluaran pengisar, pengilang dan usahawan coklat.
Acara ini menghimpunkan 31 pempamer terdiri daripada enam pengilang, 17 usahawan coklat, dua usahawan produk koko bukan makanan, tiga pembekal peralatan dan pembungkusan, Koperasi Kluster Koko, Usahawan Produk Berasaskan Lada dan Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Keselamatan Makanan).
Sempena MCCD 2022, satu produk coklat turut dilancarkan ‘Coklat Gelap Tanpa Gula dengan Prebiotik’ yang keluarkan oleh usahawan syarikat AOM Sdn Bhd iaitu usahawan coklat, bimbingan LKM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial