JENAYAH & MAHKAMAH

Fahmi Reza dilepas tanpa dibebaskan tuduhan buat hantaran jelik di media sosial

14/10/2022 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pereka grafik dan aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin atau dikenali sebagai Fahmi Reza dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di media sosial berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam     N Yohendra yang mewakili Mohd Fahmi Reza, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

“Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” kata Nor Hasniah pada prosiding yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang 

Pada 30 Ogos lepas, Mohd Fahmi Reza mengemukakan bantahan awal terhadap pertuduhan berkenaan dengan alasan pertuduhan itu tidak mengandungi butiran yang mencukupi, cacat serta bercanggah dengan kehendak di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 17 Feb lepas, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya berhubung isu pengharaman penjualan minuman keras di negara ini, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui laman Facebook miliknya menggunakan profil “Fahmi Reza” pada 11.45 pagi, 1 Jun 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah unit Pangsapuri Melur, Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul di sini, pada 9 pagi, 2 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan