EKONOMI

Status khas Pengerang boleh naikkan daya tarikan PIPC -JPDC

12/10/2022 12:06 PM

JOHOR BAHRU, 8 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan untuk untuk memberikan status khas kepada Pengerang sebagai hab petrokimia negara, dilihat boleh meningkatkan daya tarikan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sebagai destinasi pelaburan industri hiliran minyak dan gas serta petrokimia.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Bhd (JPDC) Izhar Hifnei Ismail berkata pembangunan PIPC yang meliputi kawasan seluas 9,269 hektar itu melibatkan tempoh 25 tahun bermula 2013 hingga 2037 dan terbahagi kepada empat fasa.

Beliau berkata menerusi Fasa Satu (2013-2019),  PIPC menyaksikan pembangunan dua projek pemangkin dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas hiliran dan petrokimia.

Ia termasuk pembangunan Pengerang Deepwater Terminals (PDT), pusat penyimpanan minyak dan produk petroleum dengan kapasiti sehingga lima juta meter padu, termasuk jeti air dalam, yang  dimajukan oleh Dialog Group Bhd dengan pelaburan bernilai RM14.71 bilion.

Selain daripada itu, Petronas juga membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang terdiri daripada loji penapisan minyak, loji petrokimia dan kemudahan sokongan dengan pelaburan bernilai US$27 bilion.

Menurut Izhar, pembangunan PIPC kini sedang melalui Fasa 2 (2020-2026) dan telah menerima pelaburan komited baharu hampir RM10 bilion, termasuk pembangunan Pengerang Industrial Park (PIP) oleh Johor Corporation.

“JPDC sedang memudahcara dan membantu tiga pihak yang telah menyatakan minat melabur di PIPC dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan membuat pelaburan di PIPC.

“Kami berharap status khas ini akan menjadi faktor utama bagi mereka memilih PIPC dan Pengerang sebagai destinasi pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan peruntukan untuk pembinaan lorong memotong di Lebuhraya Senai -Desaru yang menghubungkan Pengerang dengan kawasan ekonomi utama termasuk bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, pelabuhan dan kawasan perindustrian di Pasir Gudang, Lapangan Terbang  Antarabangsa Senai dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Lorong memotong tersebut akan membantu melancarkan aliran trafik yang semakin meningkat di Lebuhraya Senai-Desaru susulan kepada pembangunan dan operasi PIPC dan kawasan peranginan di Desaru,” tambah Izhar.

JPDC, anak syarikat Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), menerajui perancangan dan penyelarasan kerja pembangunan industri hiliran minyak dan gas di PIPC dan mempromosi serta memudahcara pelaburan minyak dan gas hiliran dan petrokimia yang masuk ke PIPC.

Selain itu, ia juga terlibat dalam pembangunan kelompok tenaga kerja berkemahiran yang sedia untuk diambil bekerja oleh industri serta memudahcara penglibatan tenaga kerja dan usahawan atau perniagaan tempatan dalam pembangunan ekonomi di PIPC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan