KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M di beberapa negeri hari ini disemarakkan dengan acara perarakan dan majlis berselawat sambil menghayati perjuangan pembangunan ummah yang diwarisi daripada Nabi Muhammad SAW.
Di MELAKA, hujan renyai tidak mematahkan semangat lebih 5,000 peserta daripada 118 kontinjen untuk menyertai perarakan sejauh kira-kira dua kilometer (km) bermula dari Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit ke Pusat Islam Melaka melalui Jalan Taman Bandaraya-Jalan Bukit Piatu-Jalan Bukit Baru.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan barisan Exco turut mengambil kesempatan berselawat dan berarak bersama peserta.
Di PERAK, Sultan Nazrin Shah bertitah legasi yang diwarisi daripada Rasulullah SAW wajib disegarkan dengan pendekatan meremajakan gerakan pembangunan ummah dengan melibatkan penyertaan aktif lebih ramai belia.
Sultan Perak bertitah gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari menerusi usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat.
“Golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu dan berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan (game changer). Kehadiran golongan remaja wajib diiktiraf agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan dan cabaran semasa
“Tanggungjawab lebih besar perlu diwasiatkan kepada tenaga muda agar mereka berpeluang berperanan lebih aktif dan efektif, selain mengetengahkan perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah-kaedah lama yang semakin usang,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Anugerah Pegawai Masjid, Pendakwah, Keluarga Mithali, Tokoh Badan Bukan Kerajaan dan pengamal media dengan penerima anugerah Keluarga Mithali menerima RM5,000 manakala penerima anugerah lain masing-masing menerima RM3,000 berserta plak dan sijil.
Di PAHANG, sebanyak 33 pasukan terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi dan sekolah menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul bermula kira-kira 7.30 pagi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Sambutan yang disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu turut menyaksikan pendakwah bebas Zul Ramli Mohamad Ghazali dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Pengetua Madrasah An Nabawiyyah (Lil Banin) Pulau Tawar, Jerantut, Wan Hilmy Wan Mohamed yang menerima Anugerah Ummah, selain Anugerah Daie diterima oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia Mohd Roslan Mohd Saludin, manakala Sekolah Kebangsaan Kempadang menerima Anugerah Pendidikan.
Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul 1444H Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menyempurnakan pelancaran Akademi Literasi Al-Quran Negeri Selangor yang ditubuhkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor, bertujuan memberi penekanan yang serius ke arah melahirkan umat Islam yang berkemahiran untuk membaca dan mengajar serta berupaya untuk mengamalkan Al-Quran.
Di TERENGGANU, seramai 2,340 peserta daripada 78 kontinjen menyertai perarakan sejauh 3.4km, bermula dari Padang Sintetik Kampung Tok Jiring hingga Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini, yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu selepas perarakan tersebut.
Sultan Mizan dalam titah ucapannya mengajak seluruh rakyat di negeri itu menjadikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan kepada ajaran Rasullullah SAW.
“Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kecekalan dan keteguhan hati Rasullullah SAW dalam mengharungi dugaan dan ujian yang dihadapi,” titah baginda.
Sultan Mizan juga bertitah ketinggian akhlak dan kemuliaan peribadi Rasullullah SAW dalam menyebarkan agama Islam termasuk dalam menghadapi ujian telah menjadikan baginda sebagai contoh terbaik sepanjang zaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial