KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Langkah-langkah yang diperkenalkan dalam Bajet 2023 untuk terus meringankan beban pembeli rumah kali pertama akan menyokong pengecualian duti setem 100 peratus yang diumumkan sebelum ini bagi memorandum pemindahan membabitkan kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini memberitahu Parlimen bahawa pengecualian duti setem akan dinaikkan kepada 75 peratus daripada 50 peratus untuk hartanah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta, hanya akan berakhir menjelang 31 Dis 2023.
"Kemurahan hati kerajaan untuk mengenakan duti setem RM10 bagi pindahan yang dibuat melalui transaksi antara ahli keluarga juga dijangka memberi impak positif kepada sektor perumahan," kata Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk N.K Tong dalam satu kenyataan susulan pengumuman Belanjawan 2023 hari ini.
Ketika ini, hanya pertukaran antara suami dan isteri diberi pengecualian 100 peratus, manakala pertukaran antara ibu bapa dan anak diberi pengecualian 50 peratus.
Bakal Pemilik Kediaman Meraih Manfaat
Sementara itu, bakal pembeli rumah juga akan mendapat manfaat daripada peruntukan RM3 bilion kepada Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) untuk 12,000 peminjam, yang pastinya akan memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti pekerja ekonomi gig.
Selain itu, komitmen baharu kerajaan untuk golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan RM367 juta bagi projek baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) di Terengganu dan Perlis termasuk RM358 juta untuk Program Rumah Mesra Rakyat akan memberi menguntungkan lebih 16,000 isi rumah B40.
"Langkah meningkatkan peruntukan untuk membina serta membaiki rumah di kawasan luar bandar daripada RM361 juta kepada RM460 juta, kenaikan kadar siling membabitkan pembinaan rumah baharu selain pembangunan 3,000 rumah baharu termasuk di Sabah dan Sarawak membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kualiti kehidupan serta kediaman untuk semua rakyat Malaysia," kata Tong.
Lanjutan pengecualian duti setem kepada semua pembeli
Bagaimanapun, Rehda merayu kerajaan agar mempertimbangkan untuk melanjutkan pengecualian duti setem sebanyak 75 peratus kepada semua pembeli dan bukan hanya pembeli rumah kali pertama bagi memberi kebaikan kepada kumpulan pembeli yang lebih luas terutama yang mahu menaik taraf.
Persatuan itu juga menjangkakan pelaksanaan langkah yang lebih besar dalam mengurangkan beberapa kebimbangan pemaju seperti kenaikan harga bahan binaan dan isu kekurangan tenaga kerja.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (propertyguru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata diskaun duti setem itu akan terus merangsang pasaran hartanah yang terjejas akibat kemerosotan sentimen sejak dua tahun lalu.
Pasaran hartanah itu juga menyasarkan untuk bekerjasama rapat dengan pemaju hartanah bagi menyediakan kediaman yang boleh diakses untuk bakal pembeli rumah, sejajar dengan sasaran kerajaan yang mahu membangunkan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025.
"Berkaitan dengan ini, dapatan kajian kami menunjukkan bahawa apabila memohon program perumahan mampu milik, tiga daripada lima bakal pembeli mendapati pilihan rumah tidak menarik, terutamanya di kalangan pemilik bukan hartanah, rakyat Malaysia yang lebih muda dan berpendapatan rendah.
"Kami berharap kerajaan akan mengambil kira keperluan rakyat Malaysia untuk memastikan projek perumahan kos rendah yang sedang dibina tidak akan membazir dan seterusnya menyumbang kepada isu hartanah yang tidak terjual di negara ini," kata Fernandez yang teruja untuk melihat unit rumah bernilai RM358 juta yang akan dibina di bawah program Rumah Mesra Rakyat.
Selain itu, banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menyokong pembangunan bandar hijau dan berdaya tahan.
Sehubungan itu, ia menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pemaju untuk mengguna pakai alat pensijilan hijau yang diiktiraf bagi menggalakkan pembangunan hijau dan terus mendorong industri-industri lain untuk memainkan peranan mereka menjadi lebih mesra alam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial