DUNIA

24 kanak-kanak antara 36 terbunuh dalam kejadian tembakan di pusat jagaan kanak-kanak di Thailand

06/10/2022 07:35 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 6 Okt (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 36 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu, Thailand.

Menurut kenyataan Polis Thailand lelaki bersenjata berusia 34 tahun yang melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kenderaan, kemudiannya membunuh isteri dan anaknya sebelum menembak dirinya sendiri.

Dalam satu kenyataan, polis Thailand memaklumkan bahawa 24 kanak-kanak dan 12 dewasa terbunuh manakala 15 lagi cedera termasuk lapan kritikal dalam kejadian pada 1 tengah hari (waktu tempatan).

Lelaki bersenjata itu, bekas anggota polis telah diberhentikan atas kesalahan berkaitan dadah pada tahun lepas.

Tragedi itu berlaku kurang sebulan selepas dua anggota tentera terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian tembakan di Kolej Tentera Diraja Thailand di daerah Dusit, Bangkok pada 14 Sept.

Dalam kejadian itu, seorang sarjan mejar berusia 59 tahun menembak mati dua rakannya di kolej berkenaan.

Pada Februari 2020, seorang anggota tentera menembak mati 29 orang dan mencederakan 57 yang lain dalam kejadian amuk di empat lokasi di wilayah Nakhon Ratchasima. Anggota berusia 32 tahun itu ditembak mati oleh polis 17 jam kemudian.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan