SUKAN

TFC enggan pandang rendah Melaka United FC

06/10/2022 11:46 AM

KUALA NERUS, 6 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Melaka United FC walaupun pasukan itu menduduki antara tangga terbawah Liga Super.

Sebaliknya beliau mahu para pemain memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi perlawanan di Stadium Hang Jebat malam esok.

Menurut Nafuzi skuad Penyu tidak boleh lagi keciciran mata sekiranya ingin kekal berada dalam kelompok tiga teratas liga sekali gus layak beraksi di pentas Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.

"Di atas kertas memang nampak seperti TFC memiliki kelebihan berbanding Melaka tetapi di atas padang, apa saja boleh berlaku dan ia bergantung kepada diri dan pasukan kita sendiri.

"Sekarang ini untuk kekal di tempat tiga teratas kita perlu menang dan kita tak boleh harapkan kekalahan pasukan lain untuk selamat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Gong Badak petang semalam.

Nafuzi berkata beliau belum menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan malam esok kerana mahu memastikan skuad berkenaan sesuai dengan corak permainan lawan.

Beliau berkata semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada masalah kecederaan yang boleh menjejaskan pasukan.

"Siapa pun yang bakal diturunkan diharap dapat memberi persembahan terbaik untuk kemenangan pasukan.

"Tonggak import kita, Kpah Sherman juga sudah kembali dari Liberia dan sedia untuk bermain malam esok," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan