KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Syarikat jualan langsung QNET menjangka dapat menjana impak ekonomi sebanyak RM157 juta daripada konvensyen dwi tahunannya, V-Convention, di Pulau Pinang dari 7-11 Okt, 2022.
Selepas hampir tiga tahun sekatan berkaitan pandemik terhadap perhimpunan secara besar-besaran, acara itu kembali untuk memberi peluang kepada komuniti global usahawan QNET bertemu secara bersemuka, meneliti produk baharu daripada syarikat, berhubung semula dengan rakan niaga dan menjalin hubungan baharu sambil mengukuhkan ekonomi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malou Caluza berkata konvensyen lima hari itu, yang berkemungkinan menarik hampir 15,000 hadirin, akan meningkatkan tarikan pelancongan antarabangsa dan meningkatkan pendapatan bagi sektor pelancongan dan perhotelan.
“Ini adalah perhimpunan fizikal terbesar keluarga QNET global kami sejak sebelum pandemik. Dua tahun yang lepas memberikan cabaran untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelanggan kami.
"Kami terpaksa menangguhkan semua acara secara bersemuka dan mengubahnya menjadi format digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Caluza berkata V-Convention akan menjadi acara dan tarikan pelancongan terbesar di Malaysia sejak 2019, sambil menyatakan bahawa ketibaan pelancong antara 2019 dan 2020 telah menurun sebanyak 83 peratus manakala hasil daripada perbelanjaan pelancong merosot kepada RM12.7 bilion daripada RM86.1 bilion sebelumnya.
Beliau berkata apabila QNET mengumumkan acara yang ditunggu-tunggu itu beberapa bulan lepas, tiket habis dijual dengan cepat, iaitu sebulan sebelum acara itu.
“Kami bersedia mengalu-alukan pengedar dan pelanggan kami kembali ke Pulau Pinang untuk merasai keajaiban dan keseronokan konvensyen utama kami,” katanya.
V-Convention akan berlangsung di Setia Spice Arena, salah satu tempat tertutup pelbagai guna terbesar di Malaysia Utara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial