AM

Lotus's Malaysia naik taraf makmal komputer SK Seksyen 17

05/10/2022 04:49 PM

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 17 di sini kini dapat menggunakan kemudahan makmal komputer yang lebih selesa setelah dinaik taraf hasil program yang dilaksanakan oleh Lotus’s Store (Malaysia) Sdn Bhd melalui program Sekolah Angkat #KitakanJiran.

Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia Azliza Azmel berkata sebagai sebuah syarikat yang berjiwa kejiranan, inisiatif #KitakanJiran merupakan penekanan daripada nilai SMART syarikat peruncitan itu iaitu bertanggungjawab dalam memberi impak positif dalam komuniti di lokasi mereka beroperasi.

Nilai SMART melambangkan S untuk Simple (Mudah); M untuk Motivated (Bermotivasi); A untuk Agile (Tangkas); R untuk Responsible (Bertanggungjawab); dan T untuk Transformative (Transformasi).

Beliau berkata tanggungjawab ini termasuklah menawarkan pelanggan produk berkualiti mampu milik, meningkatkan status sosial masyarakat setempat dan menyediakan peluang kepada sekolah untuk menerima pendidikan yang lebih baik serta menambah kemahiran melalui program anjuran Lotus’s Malaysia. 

“Dengan adanya makmal komputer baharu ini, para pelajar dan guru di SK Seksyen 17 kini boleh mempertingkatkan kemahiran asas komputer mereka dan menjadi asbab untuk lebih bersemangat terhadap dunia teknologi dan inovasi,” katanya kepada media di sini hari ini. 

Selain menjalankan kerja penaiktarafan makmal sekolah bulan lepas, Lotus’s Malaysia juga bekerjasama dengan VSTECS Bhd yang menyumbang 50 komputer riba kepada warga SK Seksyen 17.

Terdahulu, majlis pelancaran makmal komputer itu disempurnakan oleh Pegawai Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+) Pendidikan Daerah Petaling Perdana Dr S. Sukumar. Turut hadir, Pengurus Besar VSTECS Pericomp Sdn Bhd Li Chin Yeo. 

Guru Besar SK Seksyen 17 Mohd Misbah Ajir berkata pihaknya berbesar hati dipilih sebagai sekolah angkat Lotus’s Malaysia dan berterima kasih atas usaha rangkaian pasar raya itu menaik taraf makmal komputer sekolah itu serta sumbangan komputer oleh VSTECS Bhd.

“Sebelum ini, makmal berkenaan jarang digunakan disebabkan keadaannya yang kurang memuaskan, jadi kami berbesar hati dengan usaha yang dilakukan dan diharapkan para murid dan guru dapat menggunakan makmal ini dengan sebaiknya,” katanya. 

Sejak 2016, Lotus’s Malaysia bersama Yayasan Pintar telah merangka pelbagai program untuk mempertingkatkan kehidupan para pelajar di sekolah angkatnya dan lebih 57,000 pelajar kurang bernasib baik telah menerima impak positif melalui program Sekolah Angkat #KitakanJiran Lotus’s. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan