BERITA PRU15   Masa terbaik adakan PRN Kedah, Kelantan dan Terengganu - Shahidan | Dari Pantai Remis ke Putrajaya, Nga Kor Ming kini bergelar Menteri | PRU15 DUN Tioman: Calon perhebat kempen, manfaat tempoh yang ada | Salahuddin kembali ke Kabinet, bertukar portfolio | PRU15: Calon BN akur beri laluan kepada PH di Parlimen Padang Serai | 
EKONOMI

Pemaju robotik, Move Robotic sasar tembusi pasaran antarabangsa menjelang 2027

04/10/2022 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Move Robotic Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju robotik, mensasarkan untuk menjadi pemain utama dalam industri robot autonomi, selain mengukuhkan kedudukan dalam pasaran tempatan dan menembusi pasaran antarabangsa menjelang 2027. 

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Hazli Rasul berkata matlamat itu mampu dicapai dengan peranan Move Robotic sebagai pembekal untuk teknologi robot autonomi. 

"Setiap fabrikasi bagi proses menghasilkan robot adalah unik, ia juga memberi kesan kepada reka bentuk dan fungsi robot itu sendiri. Jadi, proses penyesuaian sangat diperlukan dalam industri robotik dan ia sekaligus memberi peluang kepada Move Robotic.

"Permintaan pasaran bagi teknologi robot autonomi bergerak dengan sangat pantas, namun pemain industri sedia ada adalah terhad dalam pengkhususan masing-masing.

"Jadi Move Robotic akan melengkapkan ekosistem industri robot berkenaan dan menjadi pembekal kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Tambahnya, saiz pasaran tempatan bagi teknologi robotik adalah amat luas ekoran banyak kilang-kilang pengeluaran sudah mula menunjukkan minat dalam teknologi robotik ini.

Mohd Hazli berkata kebanyakan kilang pengeluaran juga bersedia untuk melabur dalam teknologi robotik kerana dengan adanya pengeluaran teknologi robot autonomi tempatan, secara tidak langsung ia akan membantu industri lain dalam meningkatkan produktiviti mereka. 

Mohd Hazli yakin teknologi robotik akan berkembang luas serta mampu memainkan peranan membantu syarikat pengeluaran, gudang simpanan atau syarikat servis meningkatkan kecekapan dalam tugasan harian mereka. 

Beliau percaya produk yang akan dibangunkan Move Robotic mampu bersaing di pasaran tempatan dan menembusi pasaran antarabangsa kerana saiz bagi pasaran robotik dijangka berkembang pesat pada masa akan datang. 

Move Robotic membangunkan robot autonomi yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI/Artificial Intelligence), yang mana robot berkenaan mempunyai kebolehan untuk bergerak dengan sendiri di persekitaran yang telah disediakan.

Robot autonomi itu juga mempunyai kebolehan untuk mengelak segala halangan dalam menuju destinasi yang telah ditetapkan, jelas Mohd Hazli.

"Untuk mengelakkan kita jauh ketinggalan dengan negara luar, Malaysia perlu mengeluarkan produk robotik sendiri bermula dari sekarang," katanya.

Justeru, pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi robot autonomi adalah amat penting untuk Malaysia terus berdaya saing dengan negara lain walaupun Malaysia terbukti mempunyai ramai bakat tempatan yang setaraf dengan bakat antarabangsa.

Move Robotic juga telah bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi mempromosikan produk robotik yang telah dibangunkan kepada sasaran pasaran yang tepat. 

"MTDC juga telah membantu kami dalam mengesahkan teknologi yang dibangunkan adalah setaraf dengan teknologi luar negara supaya pengguna lebih selesa dan yakin untuk menggunakan teknologi tempatan ini," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan