DUNIA

Negara kuasa besar perlu seimbang tangani isu geopolitikal antarabangsa - Pakar

04/10/2022 02:53 PM

Oleh Amirul Mohd Sajadi

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Antara langkah terbaik menangani konflik yang timbul berikutan senario geopolitikal dunia yang berlaku hari ini adalah untuk negara-negara kuasa besar mengamalkan dasar kepentingan luar negaranya dengan lebih seimbang dan tidak berat sebelah.

Fellow Kanan Akademi Nusantara bagi Penyelidikan Strategik (NASR) Prof Dr Azmi Hassan memberitahu Bernama, bagaimanapun, ianya adalah sukar untuk melihat pendekatan ini diamalkan negara-negara kuasa besar terutama dalam kepelbagaian isu geopolitik hari ini yang diasak dengan cabaran-cabaran lain.

“Setiap negara kuasa besar sememangnya mempunyai dasar luar negara yang berkepentingan dengan negara tertentu dan mereka tentunya mahu melindungi kepentingan yang hanya memberikan manfaat kepada mereka.

“Jalan terbaik pada ketika ini adalah untuk negara kuasa besar tidak menjadi berat sebelah. Namun tidak dinafikan, perkara ini adalah sangat sukar untuk kita lihat dan capai,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai kepelbagaian isu geopolitik merentasi sempadan yang kini semakin mendapat perhatian.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap isu geopolitik global semasa Persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York.

Kebimbangan terbesar Malaysia adalah negara-negara kecil kekal di bawah belas kasihan pihak yang mempunyai kuasa, termasuk ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang mempunyai kuasa veto. Malaysia mahu melihat Pertubuhan Bangsa-bangsa (PBB) melaksanakan peranan asalnya dan matlamat penubuhannya tidak dirampas oleh mereka yang memegang kuasa veto.

Tindakan negara-negara kuasa veto telah menjadikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harimau yang tidak bertaring.

Menurut Dr Azmi lagi, sama ada keputusan ataupun langkah-langkah yang diambil oleh negara kuasa besar ini mampu menyelesaikan isu geopolik tertentu ia bergantung kepada sudut pandang kepentingan dasar luar mereka.

“Misalnya untuk isu-isu seperti yang berlaku di India, Palestin, Armenia dan Azerbaijan, lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan serta Taliban di Afghanisatan, tindakan negara kuasa besar yang terlibat tentunya antara mainan geopolitik antarabangsa dengan bekepentingan tertentu dan terpilih.

“Sama ada betul atau tidak keputusan yang diambil negara-negara kuasa besar ini, ia bergantung kepada sudut pandang mengutamakan dasar luar masing-masing yang hanya memberikan kelebihan kepada mereka.” kata Azmi.

Terbaru, media antarabangsa melaporkan anggota Kongress Amerika Syarikat (AS), Ilhan Omar memperkenalkan resolusi yang mengutuk pelanggaran hak asasi manusia di India terutamanya melibatkan sentimen agama dan kumpulan minoriti yang lain.

Tindakan Ilhan itu dikatakan telah mencetuskan sedikit kegeseran fahaman dalam kalangan masyarakat di India.

Lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan yang menyebabkan ketegangan antara China dan AS antara isu geopolitik yang hangat dibincangkan sehinggakan rakyat mulai bimbang kemungkinan berlakunya perbalahan yang lebih besar.

Setelah membekukan aset Afghanistan sebanyak AS$7 bilion, Amerika Syarikat telah memindahkan AS$3.5 bilion (RM15.8 bilion) aset bank pusat Afghanistan ke sebuah entiti yang berpangkalan di Switzerland.

Kerajaan dan penduduk Afghanistan dilaporkan menanggap tindakan itu sebagai "tidak boleh diterima dan melanggar norma antarabangsa".

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan