AM

Subsidi penginapan pelajar antara cadangan dalam Bajet 2023

04/10/2022 11:57 AM

Oleh Siti Alya Nadiah Ismail

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Subsidi keperluan asas dan penginapan pelajar adalah antara insentif diharap dapat diberi penekanan dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 7 Okt ini.

Bekas Penolong Bendahari Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Aidi Zuhaili Zuhaimi berkata kerajaan perlu menyediakan bajet pembangunan membina kemudahan kediaman yang mencukupi di Universiti Awam di luar dan dalam kampus bagi menampung keperluan kediaman pelajar.

Beliau berkata kerajaan juga harus mempertingkatkan Rumah Sewa Siswa dan meluaskan kemudahan yang boleh membantu pelajar untuk bertahan dengan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Universiti di Gombak contohnya, mungkin kerajaan boleh beri subsidi untuk menyewa rumah di kawasan berhampiran universiti. Kalau rumah sewa itu RM800, mungkin selepas subsidi jadi RM400 dan boleh namakan ia sebagai rumah sewa siswa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dengan jangkaan ekonomi yang mencabar tahun depan, ia mungkin menjejaskan kos sara hidup secara langsung, maka pelajar harus didedahkan dengan mekanisme pertahanan awal untuk menyediakan mereka dalam menghadapi inflasi dan dilengkapi dengan pengetahuan tentang membina pendapatan bebas dan celik kewangan.

Berkongsi pendapat yang sama, Setiausaha Organisasi Persatuan Graduan Muda Malaysia (GRADUAN) Kong Cheng Ann berkata pelajar khususnya di kawasan bandar menghadapi kesukaran untuk membayar sewa kerana perbelanjaan penginapan yang semakin meningkat, memaksa mereka mengalami kesempitan kewangan.

“Penginapan di kebanyakan universiti hari ini tidak mencukupi. Justeru, mereka perlu berada dalam pasaran bebas yang jika pasaran permintaan tinggi, kos yang perlu mereka bayar untuk sewa juga tinggi,” katanya.

Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Univesiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Chai Jun Xian, berkata selain penginapan pelajar, kenaikan harga makanan dalam kampus juga memerlukan penyelesaian jangka panjang.

“Jika ada dana disediakan untuk universiti mengambil bahagian dalam industri pertanian dan bekalan makanan, mereka boleh mengurangkan kos bekalan makanan. Justeru harga makanan di kampus boleh diturunkan,” katanya.

Chai berkata dalam Bajet 2023, beliau berharap kerajaan dapat memasukkan pelajar daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dalam inisiatif mereka kerana sebelum ini kebanyakan inisiatif tertumpu kepada membantu hanya pelajar B40.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Advokasi Institut Penyelidikan dan Pembangunan Dasar (IRDP) Sharmanshah Shahren berkata kerajaan perlu menyediakan lebih banyak platform pembelajaran penyelidikan, selain silibus universiti, untuk memupuk budaya penyelidikan dan mendedahkan pelajar kepada lebih banyak pengalaman penyelidikan.

“Kebanyakan pelajar universiti tahu membuat penyelidikan, tetapi masalahnya mereka tidak nampak laluan yang jelas selepas selesai menjalankan penyelidikan tertentu.

“Kerajaan harus membantu pelajar untuk menyokong penyelidikan mereka dengan menyediakan mekanisme untuk menyediakan pembiayaan benih kepada mana-mana penyelidikan berkaitan yang dibuat oleh pelajar.

Beliau berkata sebuah badan penyelidikan boleh ditubuhkan di bawah Kementerian Pendidikan untuk menyediakan, mendidik dan melatih pelajar tentang penyelidikan secara terperinci serta laluan untuk menyokong penyelidikan mereka selepas ia dilakukan.

Beliau berkata kerajaan perlu menubuhkan badan penyelidikan, yang boleh diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan, untuk menyediakan, mendidik, dan melatih pelajar tentang penyelidikan, serta laluan untuk menyokong penyelidikan mereka, selepas ia dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan