AM

Kawasan batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka masih ditutup

03/10/2022 07:51 PM

IPOH, 3 Okt (Bernama) -- Kawasan batu granit Porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar dekat sini masih belum dibuka kepada umum, tidak seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata terdapat maklumat tular bahawa kawasan itu telah dibuka kepada umum serta dikenakan bayaran untuk masuk ke kawasan terbabit.

“Sekarang ini viral mengatakan kawasan itu sudah dibuka untuk orang ramai dan RM5 seorang dikenakan, perkara ini tidak benar kerana pemilik tanah sendiri belum lagi memberi kebenaran untuk orang ramai.

“Laluan masuk pun adalah melalui kawasan larangan Lembaga Air Perak (LAP), malah terdapat kerja naik taraf yang sedang dijalankan jadi memang kita tak benarkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan platform penjualan tiket ‘Perak Box Office’ di sini hari ini.

Menurutnya segala kemudahan yang terdapat di kawasan itu hanya untuk kegunaan persendirian dan pemilik bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini kerana lokasi batu granit itu berada di atas tanah persendirian.

“Pemilik tapak masih belum menyatakan kebenaran kerana banyak perkara yang perlu dititik beratkan khususnya faktor keselamatan dan kerajaan negeri tidak boleh memaksa pemilik tanah dalam hal ini. 

“Saya sendiri telah naik, memang struktur jambatan untuk naik ke atas tu tidak sesuai kerana ia hanya digunakan untuk kegunaan sendiri dan bukan untuk kegunaan pelancong, ini yang pemilik bimbangkan,” katanya.

Beliau berkata lawatan bagi tujuan kajian di kawasan terbabit telah dilakukan oleh Perbadanan Taman Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Tourism Perak termasuk Jabatan Mineral dan Galian (JMG)  untuk menjadikan kawasan itu sebagai geotapak baharu. 

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pemilik dan perbincangan masih berjalan kerana jika pemilik benarkan barulah kita masuk dan kerajaan negeri bantu mana yang sesuai. 

“Kita tunggu laporan dan kajian selesai kemudian kita akan maklumkan kemudian oleh jabatan serta agensi yang terlibat dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan