EKONOMI

AirAsia perkukuh komitmen dengan Indonesia menerusi empat laluan baharu

03/10/2022 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- AirAsia Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap Indonesia dengan penyambungan semula perkhidmatannya ke Banda Aceh, Padang dan Pekanbaru dari Kuala Lumpur bermula 1 Okt serta melancarkan perkhidmatan baharu ke Bali (Denpasar) dari Pulau Pinang bermula 20 Okt tahun ini.

Syarikat penerbangan itu berkata ia adalah bukti kukuh komitmen AirAsia kepada kerajaan tempatan wilayah Aceh, Sumatera Barat dan Riau untuk membuka perkhidmatan antarabangsa dari lapangan terbang wilayah utama mereka.

“Perkhidmatan baharu ini juga adalah berikutan permintaan kukuh oleh masyarakat tempatan dari kedua-dua negara yang berkongsi persamaan budaya dan hubungan kekeluargaan serta akan meningkatkan pelancongan dan ekonomi kreatif di wilayah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Riad Asmat berkata Indonesia ialah pasaran utama syarikat penerbangan itu dan ia berbesar hati untuk kembali terbang ke negara itu dengan melancarkan empat laluan baharu, selain daripada enam laluan sedia.

Ini menjadikan jumlah penerbangan ke Indonesia kepada 66 penerbangan setiap minggu.

“Sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian luas di ASEAN dan Asia Pasifik, bersama syarikat penerbangan AirAsia Indonesia, kami akan terus memainkan peranan dalam membawa pelancong terus ke pelbagai bandar popular dan bandar kedua di Indonesia dan Malaysia. 

“Kami teruja untuk menyambung semula bandar-bandar ini ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, membawa pelancong dari Malaysia, menghubungkan semula keluarga, dan para usahawan,” katanya.

Riad berkata kumpulan itu yakin perkhidmatan baharu itu akan popular dan membawa pelbagai kesan limpahan kepada komuniti tempatan menerusi pelbagai impak positif melalui perbelanjaan pelancongan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Penerbangan Kuala Lumpur-Banda Aceh, Kuala Lumpur-Padang, Kuala Lumpur-Pekanbaru dan Pulau Pinang-Bali kini tersedia untuk tempahan bermula dari RM189 untuk tambang termasuk semua sehala di airasia Super App, serta ejen pelancongan konvensional dan dalam talian. 

AirAsia Malaysia kini menerbangkan sebanyak 10 laluan ke Indonesia iaitu dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Bali, Medan, Makassar, Yogyakarta, Padang, Pekanbaru dan Banda Aceh, serta dari Pulau Pinang ke Jakarta dan Bali dengan rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan ke destinasi sedia ada dan baharu selaras dengan permintaan kukuh pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan