AM

76 pelajar B40 dipilih sambung belajar menerusi program perintis SULUNG tahun ini

02/10/2022 06:44 PM

MELAKA, 2 Okt (Bernama) -- Tujuh puluh enam pelajar dalam kalangan B40 dipilih melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi awam bagi semester baharu Oktober ini menerusi Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu merupakan projek perintis melibatkan lapan universiti awam di negara ini, bertujuan membantu anak sulung dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke universiti.

Beliau berkata menerusi program itu, pelajar terpilih bukan sahaja memberi laluan khusus kemasukan pelajar B40 ke universiti awam tetapi turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama, pementoran dan sehingga pelajar mendapat pekerjaan.

"Program SULUNG ini diharap sedikit sebanyak dapat mengubah kehidupan keluarga pelajar terlibat dan menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain. Pelajar hanya perlu mempersiapkan diri untuk memasuki universiti serta fokus sepenuhnya kepada pembelajaran.

Setakat ini, Program SULUNG hanya melibatkan lapan universiti awam dan setiap universiti akan mengambil kira-kira 10 pelajar bagi pelaksanaan tahun pertama program ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat tawaran pengajian kepada peserta Program SULUNG di Taman Seri Bayan, Durian Tunggal di sini hari ini.    

Pada sesi berkenaan, Noraini menyerahkan surat tawaran kepada Muhammad Hakimi Yunus, 19, yang dipilih melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan.

Noraini berkata pelaksanaan Program SULUNG itu akan diperluas dengan kerjasama lebih banyak universiti termasuk swasta pada tahun hadapan.

Terdahulu, katanya menerusi program itu, Muhammad Hakimi tidak perlu membayar yuran pengajian selama empat tahun berjumlah lebih RM46,000 serta menerima beberapa manfaat lain termasuk elaun bulanan sebanyak RM1,500, tempat tinggal serta peranti siswa percuma.

Sementara itu, Muhammad Hakimi berkata beliau tidak menyangka terpilih sebagai salah seorang peserta program berkenaan kerana terdapat kira-kira 13 calon termasuk dirinya perlu melalui sesi temu duga program itu dengan USIM pada Julai lepas.

Beliau berkata pemilihannya itu diharap dapat meringankan beban kewangan keluarganya yang hanya bergantung pada pendapatan ayahnya, Yunus Hussain, 51, yang hanya bekerja sebagai pembantu di pasar.

"Alhamdulillah saya dipilih menyertai program ini dan saya tidak perlu bimbang tentang soal duit, yuran pengajian atau perbelanjaan ketika belajar. Saya harap dapat fokus sepenuhnya pada pelajaran dan tidak perlu membuat kerja sambilan.

Sebelum ini, saya bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka selama tiga bulan untuk mengumpul duit untuk kegunaan ketika sambung belajar. Sebelum ini juga, ketika sambung asasi di USIM, saya juga kerja sambilan di kafe universiti," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Beliau yang akan mendaftar secara fizikal di USIM pada 12 Okt ini berharap dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang agar menjadi contoh kepada dua adiknya yang berusia 14 dan 16 tahun untuk mengikuti jejaknya menyambung pelajaran di univeristi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan