BERITA TERGEMPAR | Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | |
MARAN, 1 Okt (Bernama) -- Penduduk di sekitar FELDA Jengka 3 di sini, berharap pelaksanaan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) dapat kekal diadakan secara berkala bagi membantu mereka berjimat ketika berbelanja barangan keperluan asas.
Walaupun PJMKM bermula pada pukul 9 pagi, namun Mohd Amri Abd Rahman, 50, yang sudah beratur di pintu masuk Dewan Semai Bakti FELDA Jengka 3 seawal 8 pagi berkata perbezaan harga yang ditawarkan itu agak 'ketara' memandangkan dia membeli barangan keperluan untuk lima sekeluarga.
"Beras 10 kilogram yang biasa kami beli dijual pada harga RM20.99 berbanding arga biasa RM26... begitu juga barangan lain seperti tepung, gula dan minyak masak. Semuanya diberi diskaun agak banyak dan bila dicampur-campur, memang jimat berpuluh ringgit jika membeli di pasar raya.
"Ayam juga dijual pada harga RM10 seekor menyebabkan saya terus membeli dua ekor seperti had ditetapkan untuk seorang," katanya kepada Bernama semasa ditemui di perkarangan dewan itu hari ini, sempena PJMKM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul.
Suri rumah Rosmaliza Mat Desa, 42, pula berkata barangan yang ditawarkan juga adalah jenama yang dikenali ramai, membuktikan kualiti barangan tetap dijaga walaupun dijual pada harga lebih murah.
Selain itu, ibu kepada dua orang anak itu juga seronok apabila melihat beberapa jenama ditawarkan bagi barangan sama, seperti minyak masak, santan segera dan susu pekat sekali gus memberi pilihan kepada pembeli.
"Harga memang ada beza (daripada kedai dan pasar raya)...berbaloi sangat walaupun kena beratur agak lama untuk membayar. Sekurang-kurangnya suami yang bekerja sebagai mekanik tak perlu belanja banyak untuk barangan dapur bulan ini," katanya.
Sementara itu, Zaharah Mohd Sidek, 48, berkata pada awalnya beliau hanya datang ke program itu untuk meninjau harga barangan yang ditawarkan, namun akhirnya pulang dengan beberapa bungkus tepung gandum kerana harga yang ditawarkan lebih rendah iaitu antara 56 sen hingga 70 sen mengikut jenama.
Tepung gandum, menurut beliau antara barangan yang paling kerap digunakannya kerana dirinya menjual kuih secara kecil-kecilan, selain turut membeli barangan untuk dijadikan stok seperti gula dan ayam.
Pekerja sendiri, Hafiz Ahmad, 39, berkata beliau mengambil peluang untuk membeli terus keperluan rumah bagi tempoh seminggu dua kerana beranggapan harga yang ditawarkan hari ini tidak akan dinikmati di mana-mana pasar raya.
"Kita biasa beli barangan dapur, jadi boleh tahu beza. Lepas congak-congak harga, saya rasa banyak beza di sini dan rugi kalau peluang ini dilepaskan...memang puas hati bila dapat beli barang pada harga murah," katanya.
Sementara itu, pengguna di Johor Bahru berkata PJMKM membantu meringkan beban keluarga B40, ketika situasi kenaikan harga barangan pada masa ini.
Mohd Fitri Mohd Rashid, 38, berkata menerusi program itu, barangan dijual pada harga murah seperti ayam muda segar pada harga RM6.99 sekilogram berbanding RM8.49 sekilogram dan ikan siakap RM5.99 seekor berbanding RM10 seekor sebelum ini.
“Amat berbaloi untuk orang ramai membeli dan sangat bagus sekiranya PJMKM diteruskan, jadi keluarga B40 senang berbelanja dan meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui di Pasar Raya Songmart Sri Stulang di sini.
Bagi pekerja pembersihan Nor Lila Jaffar, 53, jualan murah seumpama itu membantu rakyat yang memerlukan, namun berharap senarai barangan yang dijual perlu ditambah.
Tinjauan Bernama di pasar raya berkenaan mendapati tepung, ayam, susu dan gula merupakan antara barangan keperluan asas yang menjadi pilihan orang ramai pada program itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial