EKONOMI

6,000 usahawan wanita Malaysia, Indonesia tingkat kemahiran perniagaan menerusi program bimbingan

30/09/2022 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Lebih 6,000 usahawana wanita seluruh Malaysia dan Indonesia menerima latihan bimbingan dan kemahiran digital yang penting bagi mengembangkan perniagaan mereka dalam program yang dianjurkan oleh The Asia Foundation.

Program Accelerate My Business itu dianjurkan oleh organisasi pembangunan bukan bersifat keuntungan Asia Foundation dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan syarikat antarabangsa seperti AT&T, Visa, dan DHL.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Suriani Ahmad berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang diterajui wanita mesti bekerjasama dalam ruang digital untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka dalam usaha menjadi agen perubahan yang aktif.

“Wanita yang menerajui PKS akan dapat memainkan peranan mereka sebagai ejen perubahan. Mereka akan mendapat inspirasi untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih baik bagi menangani cabaran sosio-ekonomi dan alam sekitar yang kita hadapi hari ini,” katanya pada sidang kemuncak Accelerate My Business yang diadakan dalam talian hari ini.

Program ini adalah sesi latihan maya yang diterajui pengajar secara langsung dengan pemimpin industri sebagai penceramah. Ia melibatkan pembelajaran kendiri dengan sesi terbuka untuk sokongan tambahan dan rangkaian.

Para peserta mendapat manfaat daripada pelbagai topik seperti pemasaran digital, pengurusan kewangan, keselamatan siber, pengalaman pelanggan dan logistik.

Yayasan Asia juga bekerjasama dengan rakan kongsi komuniti seperti Lembaga Multimedia Sarawak dan Yayasan Johor Corporation. Rakan kongsi pelaksananya ialah StartupMalaysia dan Pusat Pembangunan Sumber Wanita di Indonesia.

“Modul dan bimbingan yang disediakan telah menyokong peserta untuk meningkatkan kemahiran dan kekal berdaya saing dalam ekonomi digital,” kata wakil negara yayasan itu Dr Robin Bush.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan