EKONOMI

Affin Bank optimis dengan prospek pertumbuhan menerusi peningkatan strategi digital

30/09/2022 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Affin Bank Bhd optimis mengenai prospek pertumbuhannya pada separuh kedua 2022 menerusi peningkatan strategi digital yang menawarkan sokongan dipertingkatkan untuk keperluan pelanggan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah berkata bank itu telah melabur lebih RM300 juta pada tahun ini untuk meningkatkan sistem teknologi maklumat dan teknologi tinggi, meletakkan bank itu di barisan hadapan dari segi pendigitalan, di samping menyokong pelanggan dan menguasai perniagaan di pasaran di tengah-tengah krisis global.

“Kami juga percaya Malaysia mampu bertahan dan kekal berdaya tahan untuk mengharungi sebarang krisis global yang dijangkakan memandangkan negara mempunyai kekuatan jangka panjang untuk mengatasi cabaran,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kad Prabayar Visa Affin Merchantrade dengan kerjasama Merchantrade Asia Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata kad prabayar itu mempunyai saiz dompet sehingga RM20,000 dengan kemampuan untuk membeli dan menyimpan dana sehingga 20 mata wang asing tanpa sebarang pertukaran asing tersembunyi atau caj mata wang bersilang.

Meskipun ringgit merosot, beliau berkata kad prabayar itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai pengembara perniagaan, pembeli-belah, pelajar di luar negara dan ibu bapa yang menyara keluarga di luar negara.

“Pelanggan baharu dan sedia ada yang memohon kad ini akan menikmati fleksibiliti untuk membuat pembayaran barangan dan perkhidmatan melibatkan lebih 300,000 peniaga visa di Malaysia dan lebih 80 juta lokasi peniaga di seluruh dunia menerusi rangkaian pembayaran global visa,” katanya.

Setakat ini, lebih 4,000 kad telah dikeluarkan, katanya sambil menyatakan bank itu menjangka sebanyak 3,000 kad lagi akan dikeluarkan menjelang akhir tahun ini.

“Objektif utama mewujudkan produk baharu ini bertujuan menyelesaikan isu pertukaran mata wang dan kiriman wang yang biasa dialami pelanggan," katanya sambil menambah pelanggan juga boleh mengelak daripada fi tidak perlu dan beratur panjang di pengurup wang.

 Beliau berkata kad prabayar itu berserta aplikasi E-dompet Wang Merchantrade akan memudahkan proses pembukaan akaun, perkhidmatan pindahan wang antarabangsa dan pengeluaran tunai di cawangan dan ejen Merchantrade di seluruh negara serta lebih 11,000 ATM Visa Plus di Malaysia dan 2.5 juta ATM di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan