JENAYAH & MAHKAMAH

APMM tumpaskan cubaan seludup masuk 84,700 kotak rokok

29/09/2022 07:18 PM

PELABUHAN KLANG, 29 Sept (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menumpaskan cubaan menyeludup masuk 84,700 kotak rokok bernilai lebih RM1 juta termasuk nilai cukai di persisiran pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Banting, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten V. Siva Kumar, berkata kejayaan itu adalah hasil risikan dan intipan berterusan pasukan operasi agensi itu terhadap aktiviti penyeludupan rokok di perairan Selangor.

“Sekitar jam 6 pagi semalam, radar Sistem Pengawasan Laut APMM telah mengesan sebuah bot pancung mencurigakan di Perairan Tanjung Gabang.

“Berikutan itu, bot Petir 83 APMM telah menuju ke lokasi dan terserempak dengan sebuah bot pancung yang disyaki membawa muatan rokok. Bot itu kemudiannya terus melarikan diri ke perairan negara jiran sebaik menyedari kehadiran anggota APMM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Susulan itu, Siva Kumar berkata pihaknya membuat pemeriksaan di sekitar persisiran pantai Batu Laut dan menemukan dua buah lori di tebing sungai dan dipercayai telah menjadi lokasi pendaratan bot pancung berkenaan sebelum itu. 

Katanya, sejurus menyedari kehadiran bot APMM, kedua-dua pemandu lori tersebut lari meninggalkan kenderaan masing-masing dan pihaknya menemukan sejumlah rokok yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk dijual ke pasaran tempatan. 

Beliau berkata rampasan berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan