AM

Jabatan Laut tubuh pasukan siasatan insiden kapal berlanggar di Batu Pahat

28/09/2022 03:31 PM

JOHOR BAHRU, 28 Sept (Bernama) -- Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan pasukan siasatan susulan insiden pelanggaran kapal kontena MV GSL Grania dengan kapal tangki MT Zephyr I di perairan Batu Pahat, semalam. 

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan kapal kontena yang berdaftar di Liberia dan kapal tangki yang berdaftar di Panama itu bagi memastikan situasi terkawal. 

“Buat masa ini, kedua-dua kapal diarahkan untuk berlabuh di tempat selamat bagi tujuan verifikasi kerosakan dan siasatan lanjut.

“JLM juga bertindak menyiarkan navigational telex (NAVTEX) bagi memberi amaran kepada kapal-kapal yang berada di kawasan atau laluan berdekatan mengenai situasi semasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga,” menurut jabatan itu.

Terdahulu, siasatan awal mendapati kapal MT Zephyr I yang dalam perjalanan ke Yantai, China telah hilang kawalan berikutan kegagalan sistem stereng sehingga menyebabkannya membelok ke kiri lalu melanggar starboard quarter kapal MV GSL Grania yang dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah.

"Akibat daripada pelanggaran itu, kapal MV GSL Grania telah mengalami kerosakan pada bahagian starboard quarter, manakala kapal MT Zephyr I pula mengalami kerosakan pada bahagian depan (bow)," menurut jabatan itu lagi. 

Bagaimanapun, tiada sebarang kebocoran dan tumpahan minyak dilaporkan.

"Kita juga ingin menasihatkan orang awam agar tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," tambah kenyataan itu. 

Terdahulu, JLM telah menerima laporan kecemasan melalui VTS Klang Sektor 5 berhubung insiden pelanggaran kapal berkenaan pada 4.18 pagi semalam. 

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan