AM

Malaysia anjur Semakan Misi Khidmat Nasihat Keselamatan Nuklear Antarabangsa bulan depan

27/09/2022 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Semakan Misi Khidmat Nasihat Keselamatan Nuklear Antarabangsa bulan depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata misi itu akan membantu Malaysia dalam melengkapkan semakan untuk penambahbaikan dalam mekanisme keselamatan sedia ada.

“Kami menghargai sokongan berterusan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam melaksanakan Pelan Sokongan Keselamatan Nuklear Bersepadu di Malaysia,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Umum IAEA di Vienna, Austria hari ini.

Selain itu, Dr Adham turut menzahirkan penghargaan atas bantuan IAEA dalam pelbagai projek penyelidikan yang diselaraskan untuk menggalakkan perkongsian maklumat saintifik dan teknikal. 

Beliau berkata Malaysia turut berbangga dengan pengiktirafan sebagai pusat kolaborasi IAEA oleh agensi itu dalam bidang pemprosesan radiasi, ujian tanpa kerosakan lanjutan dan pembiakan mutasi tumbuhan.

“Justeru, kami tidak sabar untuk memperbaharui perlantikan pusat kolaborasi IAEA untuk terus berkongsi kepakaran kami dengan anggota yang lain,” tambahnya.

Merumuskan ucapannya, Dr Adham mengulangi komitmen teguh dan sokongan berterusan Malaysia kepada IAEA, termasuk menerusi sumbangan yang sewajarnya. 

Beliau berkata Malaysia menghargai usaha berterusan IAEA untuk mempromosi ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dalam pengaplikasian teknologi nuklear untuk tujuan yang selamat dan aman. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan