SUKAN

Fasiliti kereta lumba terbesar Malaysia dibina menjelang 2025 - Ti

26/09/2022 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Fasiliti industri bersepadu kereta lumba dan akademi automotif Malaysia yang menelan belanja RM10 juta akan dibina menjelang 2025.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata kemudahan di bawah satu bumbung seluas kira-kira 0.399 hektar itu akan dibina melalui kerjasama antara Optimal Premium Motors Sdn Bhd (OPM), PrimeX Signature Sdn Bhd dan TOC Automotive College (TOC).

Ia akan dilengkapi dengan bilik pameran, pemulihan kereta, perincian kereta, aksesori dan perdagangan kereta antara lain, untuk menjadi mercu tanda monumental di Malaysia.

Selain itu, Akademi Perincian Auto (ADA) juga akan dibangunkan untuk memacu individu meneruskan minat mereka dan memulakan kerjaya melalui kursus pendidikan dalam teknologi automotif, kejuruteraan, pemulihan kereta dan perincian untuk mengembangkan industri automotif.

Ti berkata Malaysia menjadi pangkalan yang menarik untuk pengeluar automotif tempatan dan global selama bertahun-tahun, menjadi negara ketiga permintaan tertinggi dalam industri automotif di Asia Tenggara.

“Apa yang OPM, PrimeX dan TOC lakukan bukan sahaja akan mempamerkan industri automotif Malaysia sedang berkembang pesat, tetapi pada masa sama menyediakan golongan muda kita dengan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran mereka dengan pengetahuan yang boleh dibawa ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengasas OPM Simpson Tan berkata kemudahan baharu itu akan menjana lebih 600 pekerjaan merangkumi latihan teknikal dan pandangan mendalam mengenai industri sebagai sumbangan untuk membina populasi pekerja mahir yang besar di negara ini.

OPM dan PrimeX juga menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Kelab Harmoni Malaysia, dalam usaha menggalakkan perpaduan melalui pendidikan dan memupuk belia di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan