KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Hasil yang direkodkan syarikat induk pelaburan milik kerajaan Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) meningkat kepada RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 daripada RM1 bilion pada tahun kewangan 2020.
Presiden dan Pengarah Eksekutif, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata hasil kumpulan meningkat 14 peratus atau RM148.1 juta berbanding angka pada tahun kewangan 2020 dan ia disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan yang dicatatkan anak-anak syarikat.
“Trend kenaikan lain termasuk keuntungan sebelum cukai dan zakat kumpulan yang mencatatkan peningkatan sebanyak 364 peratus (RM60.9 juta) kepada RM77.7 juta daripada RM16.7 juta pada tahun kewangan 2020.
“Walaupun kos operasi meningkat sebanyak RM67.1 juta (25 peratus), kumpulan Terengganu Inc masih mencapai keuntungan selepas cukai sebanyak RM8.6 juta untuk meneruskan operasi” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata sektor perladangan yang digerakkan oleh TDM Bhd dan Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd sekali lagi kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kepada kumpulan iaitu sebanyak 49 peratus didorong oleh harga purata minyak sawit dan isirung sawit yang lebih tinggi.
Ia diikuti oleh sektor penjagaan kesihatan dengan sebanyak 19 peratus serta sektor tenaga dan sumber pada 17 peratus, katanya.
Burhanuddin Hilmi berkata sektor penjagaan kesihatan menunjukkan peningkatan hasil sebanyak RM21.7 juta atau 11 peratus kepada RM224.3 juta pada tahun kewangan 2021, daripada RM202.6 juta pada tahun kewangan 2020.
Momentum tersebut disumbangkan oleh pulangan yang lebih tinggi bagi setiap pesakit dan peningkatan bilangan pesakit luar, katanya.
Beliau berkata kluster tenaga dan sumber yang diterajui oleh Golden Pharos Bhd juga merekodkan hasil yang baik sebanyak RM9.5 juta, didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi.
Bagi segmen hasil yang dicatatkan Golden Pharos, ladang hutan meningkat sebanyak 357 peratus daripada angka tahun kewangan sebelumnya, diikuti venir sebanyak 62 peratus dan serpihan kayu sebanyak 24 peratus, katanya.
Beliau berkata dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan, sektor pelancongan menerusi YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel) memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.2 juta selepas mengalami kerugian beberapa tahun lepas.
Hasil dalam sektor ini meningkat sebanyak 66 peratus (RM3.5 juta) daripada kerugian RM7.3 juta pada tahun kewangan 2020, katanya.
Burhanuddin Hilmi berkata anak syarikat yang menjurus kepada sektor pembinaan, GPQ Sdn Bhd turut memperoleh hasil lebih tinggi pada tahun kewangan 2021 iaitu RM42.5 juta, didorong penyiapan projek hospital pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus.
“Kami optimis Terengganu Inc dan anak-anak syarikat dapat mengekalkan kadar kukuh seiring dengan pemulihan ekonomi negara yang berterusan. Prinsip perniagaan kami yang mampan dan amalan pengurusan risiko sentiasa diutamakan.
“Sering kami tekankan, usaha kami untuk mencapai kejayaan melangkaui objektif komersial semata-mata. Bagi memajukan pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosial dan tadbir urus yang baik, kami akan terus menggalakkan daya tahan dan pertumbuhan mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial